KUALA LUMPUR: Seorang bekas menteri yang pernah menganggotai Jemaah Menteri sebelum penularan pandemik COVID-19 kini menjadi tumpuan siasatan terbaharu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna kuasa ketika memegang jawatan dalam kerajaan.
Sumber memaklumkan, individu berkenaan yang pernah berdepan pertuduhan di mahkamah atas beberapa kes rasuah beberapa tahun lalu, kembali berada dalam radar SPRM susulan maklumat baharu berkaitan penyelewengan melibatkan sebuah kementerian yang pernah diterajuinya.
Difahamkan, siasatan tertumpu kepada urusan pemindahan sebidang tanah milik kerajaan bernilai tinggi kepada sebuah syarikat pemaju hartanah terkemuka yang dipercayai mempunyai unsur rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Maklumat terbaharu yang diterima daripada orang awam itu mendorong SPRM membuka kertas siasatan, meskipun kes berkenaan dipercayai berlaku hampir sedekad lalu dan bekas menteri itu sudah lama tidak lagi berkhidmat dalam pentadbiran kerajaan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan bahawa pihaknya telah memulakan siasatan rasmi terhadap kes tersebut.
“Ya, saya mengesahkan kertas siasatan telah dibuka dan beberapa individu akan dipanggil bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, laporan akhbar New Straits Times (NST) menyebut SPRM memperoleh maklumat perisikan baharu pada penghujung bulan lalu yang membuka semula siasatan terhadap kes berkenaan.
Menurut sumber, selain urusan pemindahan tanah, SPRM turut meneliti satu lagi projek membabitkan pembinaan papan iklan pengiklanan yang dilaksanakan oleh kementerian terbabit.
Siasatan kini memberi tumpuan kepada hubungan antara bekas menteri berkenaan dengan beberapa syarikat yang dipercayai terlibat dalam urusan berkenaan, termasuk aspek kepentingan dan aliran kewangan.
Sumber itu turut memaklumkan, dapatan awal menunjukkan nilai penyelewengan yang disiasat dianggarkan mencecah jutaan ringgit.
“SPRM kini dalam proses mengumpul dokumen berkaitan serta akan memanggil individu-individu tertentu untuk membantu siasatan lanjut.
“Kes ini membabitkan kepentingan awam dan terdapat potensi untuk pemulihan semula kerugian akibat ketirisan aset serta dana kerajaan,” katanya.