JOHOR BAHRU: Pas didakwa sengaja memperalatkan isu Titah Adendum melibatkan Datuk Seri Najib Razak sebagai strategi politik untuk mengalihkan perhatian daripada kemelut dalaman yang sedang melanda kerajaan negeri Perlis.
Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dr Zuhan Zain berkata, tindakan tersebut dilihat sebagai usaha terancang bagi menutup kegagalan pentadbiran serta ketidaktentuan kepimpinan kerajaan Perlis yang diterajui Perikatan Nasional (PN).
Menurut beliau, Amanah Johor berpandangan isu berkaitan Najib sengaja diketengahkan sebagai tajuk utama bagi mengaburi hakikat bahawa kerajaan negeri Perlis kini berdepan krisis kepercayaan, kelemahan tadbir urus serta perpecahan dalaman yang semakin meruncing.
“Amanah Johor sejak awal telah menjangkakan kerajaan PN di Perlis sukar bertahan secara stabil berikutan pelbagai petanda kegagalan pentadbiran, konflik dalaman dan kepimpinan yang rapuh,” katanya dalam satu kenyataan.
Zuhan turut mendakwa, masalah yang berlaku dipercayai berpunca daripada perebutan kuasa dalam Pas sendiri, perbezaan hala tuju serta ketidakupayaan menyelesaikan pertikaian secara matang, sekali gus memberi kesan langsung kepada kestabilan kerajaan negeri.
Keadaan itu, katanya, bukan sahaja menjejaskan kelancaran pentadbiran malah turut memberi implikasi terhadap kebajikan rakyat Perlis.
Beliau menambah, situasi tersebut membuktikan PN merupakan gabungan yang lemah dari segi kesepaduan, gagal mengurus perbezaan secara berhemah dan tidak benar-benar memberi tumpuan kepada keperluan rakyat.
“Ketika rakyat memerlukan penyelesaian terhadap isu kos sara hidup dan kebajikan, Pas dilihat lebih sibuk berpolitik serta mempertahankan kepentingan kuasa,” katanya yang juga Ketua Pas Kawasan Kluang.
Semalam, kedudukan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dilaporkan semakin tidak menentu apabila beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PN didakwa menarik sokongan terhadap kepimpinan beliau.
Difahamkan, sekurang-kurangnya lapan daripada 14 ADUN PN dikatakan telah menyatakan hilang kepercayaan, sekali gus mencetuskan spekulasi kemungkinan berlakunya pertukaran Menteri Besar dalam masa terdekat.