Pelaburan Kerajaan MADANI Fokus Manfaat Rakyat, Jana Pekerjaan Berkualiti – PM

Oleh ABDULLAH HAMID

KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI menegaskan kejayaan menarik pelaburan ke negara ini bukan sekadar mencerminkan pertumbuhan ekonomi, sebaliknya bertujuan memastikan kesejahteraan dan kepentingan rakyat terus terpelihara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM285.2 bilion yang direkodkan dalam tempoh sembilan bulan pertama 2025 membuktikan keyakinan pelabur terhadap hala tuju ekonomi negara, dengan peningkatan 13.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menurut beliau, aliran pelaburan berkenaan memainkan peranan penting dalam mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti, di samping membantu meningkatkan tahap pendapatan rakyat serta memperkukuh taraf hidup secara menyeluruh.

“Pendekatan Kerajaan MADANI adalah memastikan setiap pelaburan yang masuk membawa pulangan nyata kepada rakyat dan menyumbang kepada pembangunan negara dalam jangka panjang,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Dalam pada itu, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) memaklumkan pencapaian tersebut diraih ketika kebanyakan negara berdepan cabaran ketegangan geopolitik, gangguan rantaian bekalan serta dasar monetari yang ketat, sekali gus menyerlahkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang berdaya saing.

Menurut MIDA, sebanyak 4,874 projek telah diluluskan melibatkan sektor pembuatan, perkhidmatan dan industri primer, dengan keseluruhan pelaburan itu dijangka menjana 152,766 peluang pekerjaan baharu.

Pelaburan asing pula mencatatkan pertumbuhan ketara sebanyak 47.5 peratus tahun ke tahun, dipacu peningkatan dalam sektor perkhidmatan sebanyak 122 peratus, diikuti industri primer (56.6 peratus) dan pembuatan (9.2 peratus).

Singapura muncul sebagai penyumbang terbesar pelaburan asing dengan nilai RM52.7 bilion, diikuti China (RM35.8 bilion), Amerika Syarikat (RM11.3 bilion), British Virgin Islands (RM6.6 bilion) dan Jepun (RM4.8 bilion).

Dari segi agihan negeri, Johor merekodkan nilai pelaburan tertinggi sebanyak RM91.1 bilion, disusuli Selangor (RM51.9 bilion), Kuala Lumpur (RM45.9 bilion), Pulau Pinang (RM23.7 bilion) dan Kedah (RM17.5 bilion).