AGC Tegaskan Permohonan DNAA Ahmad Zahid Dibuat Mengikut Kerangka Undang-Undang

Oleh ABDULLAH HAMID

SHAH ALAM: Jabatan Peguam Negara (AGC) mengesahkan bahawa satu permohonan semakan kehakiman telah dikemukakan di Mahkamah Tinggi berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 September 2023 yang melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut AGC, pengesahan itu dibuat susulan laporan sebuah portal berita, Free Malaysia Today (FMT), mengenai tindakan undang-undang yang mencabar keputusan DNAA berkenaan.

Dalam satu kenyataan pada Isnin, AGC memaklumkan bahawa permohonan semakan kehakiman tersebut menimbulkan persoalan berhubung perkembangan serta hasil siasatan yang dirujuk kepada mahkamah ketika permohonan DNAA dikemukakan sebelum ini.

AGC menyatakan isu berkenaan menyentuh kepentingan awam, khususnya berkaitan keyakinan masyarakat terhadap pentadbiran keadilan dan sistem perundangan negara.

Jabatan itu turut menegaskan bahawa keputusan untuk memohon DNAA dibuat selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada serta berdasarkan keadaan pada ketika itu, termasuk keperluan untuk meneruskan siasatan lanjut yang belum dimuktamadkan sepenuhnya.

Menurut AGC, keputusan berkenaan dibuat dalam rangka undang-undang yang terpakai dan mengambil kira proses penyiasatan yang masih berjalan pada waktu permohonan DNAA dikemukakan kepada mahkamah.

Sehubungan itu, AGC memaklumkan bahawa pihaknya tidak akan memberikan sebarang ulasan lanjut mengenai merit permohonan semakan kehakiman tersebut memandangkan perkara itu kini berada di bawah pertimbangan Mahkamah.

“AGC akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada proses kehakiman serta mematuhi segala arahan dan keputusan yang ditetapkan oleh Mahkamah,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, seorang peguam dilaporkan FMT telah memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman berkaitan siasatan susulan selepas DNAA diberikan kepada Ahmad Zahid dalam kes melibatkan Yayasan Akalbudi lebih dua tahun lalu.

Permohonan itu difailkan oleh Syed Amir Syakib Arsalan Syed Ibrahim, yang menegaskan tindakan tersebut tidak bertujuan mencabar budi bicara Peguam Negara dalam memohon DNAA, mahupun menentukan hasil pendakwaan.

Sebaliknya, beliau menjelaskan bahawa permohonan itu dibuat bagi mendapatkan penjelasan, akauntabiliti serta kepastian berhubung status siasatan lanjut yang dimaklumkan kepada umum ketika DNAA diberikan.

Syed Amir turut menyatakan bahawa walaupun lebih setahun telah berlalu sejak keputusan DNAA dibuat, tiada sebarang kemas kini awam diberikan sama ada siasatan tersebut telah selesai atau bila pendakwaan akan diteruskan.