PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan barisan Jemaah Menteri supaya melaksanakan tugas dengan penuh disiplin serta memastikan dasar kerajaan diterjemahkan kepada tindakan yang nyata dan dirasai rakyat.
Beliau menegaskan bahawa anggota Kabinet tidak boleh berpuas hati dengan kenyataan retorik semata-mata, sebaliknya perlu memastikan pelaksanaan dasar berjalan lancar, berintegriti dan tanpa sebarang kelewatan.
“Kabinet ini memikul amanah besar rakyat. Ia menuntut tindakan segera, keputusan yang berani dan keupayaan menterjemah kehendak rakyat menjadi dasar yang berfungsi, bukan sekadar slogan,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, setiap menteri perlu bekerja dengan rendah hati dan komited bagi memastikan agenda kerajaan Madani sampai kepada semua lapisan masyarakat.
Perdana Menteri turut memuat naik beberapa keping gambar mesyuarat pertama Kabinet Madani yang diadakan selepas Istiadat Mengangkat Sumpah Menteri dan Timbalan Menteri di Istana Negara.
Tujuh menteri termasuk dua lantikan baharu mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada pagi tersebut.
Semalam, Anwar mengumumkan rombakan Kabinet yang melibatkan pertukaran portfolio serta pelantikan baharu membabitkan 28 menteri dan timbalan menteri, termasuk enam timbalan menteri dan seorang muka baharu yang dilantik sebagai menteri penuh.