PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) tidak akan diadakan dalam masa terdekat meskipun keadaan ekonomi negara menunjukkan petanda pemulihan yang positif.
Beliau berkata, keutamaan kerajaan ketika ini adalah untuk meneruskan agenda reformasi serta menangani isu yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.
“PRU masih jauh. Fokus saya adalah melaksanakan reformasi dan menyelesaikan permasalahan rakyat. Itu dua keutamaan utama,” katanya ketika bertemu editor.
Anwar berkata demikian sebagai mengulas persoalan sama ada kerajaan akan mengadakan pilihan raya awal susulan pengukuhan nilai ringgit dan penunjuk ekonomi yang semakin memberangsangkan.
Penggal pentadbiran kerajaan Persekutuan dijadual berakhir pada Disember 2027, manakala PRU16 perlu diadakan selewat-lewatnya 60 hari selepas tarikh tersebut, iaitu sebelum 17 Februari 2028.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menyatakan keyakinan bahawa prospek ekonomi negara akan terus menunjukkan peningkatan dalam tempoh akan datang.
“Walaupun keadaan kini lebih baik berbanding sebelum ini, kita yakin masa hadapan negara akan menjadi lebih baik,” katanya.
Terdahulu, Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook mencadangkan supaya pilihan raya negeri di 11 negeri Semenanjung diadakan serentak dengan PRU16 bagi menjimatkan kos dan menyelaraskan tempoh pentadbiran.
Sementara itu, Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan bahawa Indeks Pelopor meningkat sebanyak 0.8 peratus kepada 113.3 mata pada September lalu, berbanding 112.4 mata pada tahun sebelumnya, mencerminkan pemulihan ekonomi yang berterusan.