Rombakan Kabinet: Titah Agong Jadi Panduan Tadbir Urus Kerajaan

Oleh NUR KASIH

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan peringatan agar barisan Jemaah Menteri yang baharu dilantik melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah, menjunjung tinggi integriti serta memberi khidmat kepada rakyat tanpa dipengaruhi kepentingan politik kepartian.

Titah tersebut dikongsikan oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Sim Tze Tzin selepas menghadiri Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan serta Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia di Istana Negara, pagi tadi.

Menurut beliau, Seri Paduka Baginda menasihatkan semua menteri dan timbalan menteri supaya meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan dalam setiap pelaksanaan tugas dan keputusan yang diambil.

“Baginda bertitah agar kami menjunjung nilai integriti dan berkhidmat kepada rakyat tanpa mengira latar belakang atau parti politik,” katanya ketika ditemui media di perkarangan Istana Negara.

Mengulas mengenai peranan baharunya, Tze Tzin berkata beliau akan memberikan tumpuan untuk memperkukuh usaha menarik pelaburan berkualiti, memperluas aktiviti perdagangan serta mempermudah proses menjalankan perniagaan di negara ini.

Menurutnya, kementerian perlu terus bekerja keras bagi memastikan iklim pelaburan dan perdagangan Malaysia kekal kompetitif serta mesra perniagaan.

Dalam perkembangan sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan yang diberikan melalui pelantikan tersebut.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan rombakan Kabinet kali ketiga yang melibatkan pelantikan 10 menteri dan 18 timbalan menteri bagi memperkukuh keberkesanan pentadbiran kerajaan.

Tze Tzin dilantik menggantikan Liew Chin Tong yang kini memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Kewangan.

Terdahulu, seramai tujuh menteri dan lapan timbalan menteri selesai mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong dalam istiadat yang berlangsung di Singgahsana Kecil, Istana Negara, pagi tadi.