SKMM Perkukuh Kawal Selia Platform Digital Demi Keselamatan Pengguna

Oleh AHMAD ISMAIL

PETALING JAYA – Langkah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melaksanakan peruntukan deeming di bawah Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 disifatkan sebagai antara tindakan paling signifikan dalam mengukuhkan pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA).

Melalui peruntukan berkenaan, platform pesanan internet dan media sosial berskala besar yang beroperasi dari luar negara kini tertakluk kepada bidang kuasa Malaysia, meskipun tidak mempunyai kehadiran fizikal atau pendaftaran tempatan.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri menyambut baik pendekatan itu dan menyatakan bahawa langkah berkenaan memperkukuh matlamat utama ONSA, iaitu memastikan penyedia perkhidmatan mematuhi kerangka kawal selia negara tanpa menjejaskan operasi global platform terlibat.

Menurut kenyataan itu, pelaksanaan deeming membolehkan tanggungjawab penyedia perkhidmatan ditakrifkan dengan lebih jelas, khususnya dalam aspek keselamatan pengguna serta perlindungan golongan rentan seperti kanak-kanak daripada ancaman siber termasuk buli dalam talian, penipuan kewangan, eksploitasi seksual dan penyebaran kandungan berbahaya.

Sebelum ini, SKMM mengumumkan bahawa semua penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial yang mempunyai lapan juta pengguna atau lebih di Malaysia akan disifatkan sebagai pemegang lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi secara automatik, berkuat kuasa 1 Januari 2026.

Antara platform yang terlibat ialah WhatsApp, Telegram, Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Pendidikan turut menyatakan sokongan terhadap inisiatif SKMM, dengan menegaskan langkah tersebut mampu mengurangkan pendedahan kanak-kanak kepada risiko eksploitasi seksual, penipuan, gangguan siber serta kandungan tidak sesuai.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Ismail pula berkata pelaksanaan peruntukan itu mencerminkan kerjasama strategik antara SKMM dan Polis Diraja Malaysia dalam menjamin keselamatan digital rakyat untuk jangka panjang.

Menurut beliau, pihak polis akan terus bekerjasama rapat dengan SKMM dan agensi berkaitan menerusi pendekatan menyeluruh kerajaan bagi memperkukuh mekanisme siasatan, meningkatkan perkongsian maklumat dan mempercepat tindakan terhadap kandungan atau aktiviti berbahaya di ruang siber.