Keputusan Mahkamah Paris Tegaskan Kedaulatan Negara, Lindungi Aset Strategik Malaysia

Oleh Admin 06

KOTA KINABALU – Pembatalan sepenuhnya Award Akhir oleh Mahkamah Rayuan Paris dalam kes tuntutan pihak yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu disifatkan sebagai satu kemenangan besar buat Malaysia dalam mempertahankan kedaulatan undang-undang serta keselamatan aset strategik negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata keputusan itu membuktikan keberkesanan kerjasama kukuh antara Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan, selain keupayaan pasukan perundangan negara mempertahankan kepentingan Malaysia di pentas antarabangsa.

Menurut beliau, keputusan berkenaan mencerminkan kejayaan signifikan Malaysia apabila Mahkamah Rayuan Paris membatalkan sepenuhnya Award Akhir berkaitan tuntutan terhadap Sabah yang dikemukakan oleh pihak yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu.

“Keputusan ini bukan sahaja menegakkan kedaulatan undang-undang negara, malah melindungi kepentingan ekonomi serta aset strategik Malaysia, khususnya di Sabah. Ia adalah hasil usaha bersepadu kerajaan negeri dan Persekutuan serta pasukan perundangan yang bertindak secara tegas, profesional dan konsisten sehingga ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Arthur yang juga wakil Barisan Nasional (BN-Sook) berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 Sabah pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, Isnin lalu.

Pada 9 Disember, Mahkamah Rayuan Paris memutuskan untuk membatalkan sepenuhnya Award Akhir yang sebelum ini melibatkan tuntutan pampasan berjumlah AS$14.9 bilion terhadap Malaysia.

Keputusan yang dikeluarkan minggu lalu itu turut menyatakan bahawa penimbang tara, Gonzalo Stampa, tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengendalikan prosiding berkenaan, selain ketiadaan perjanjian timbang tara sah yang mengikat Malaysia.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said turut menyifatkan keputusan tersebut sebagai lebih daripada sekadar kemenangan perundangan, sebaliknya melibatkan maruah, kedaulatan dan hak rakyat Malaysia, khususnya rakyat Sabah.

Beliau menegaskan, keputusan itu merupakan satu kejayaan besar kepada negara.

War Room Sekretariat Khas Sulu yang mewakili Kerajaan Malaysia turut mengesahkan bahawa keputusan Mahkamah Rayuan Paris itu telah disampaikan pada 9 Disember, manakala penghakiman rasmi diterima kerajaan pada awal pagi Rabu lalu.

Mahkamah turut memutuskan bahawa ‘Award Akhir’ tersebut tidak sah kerana ketiadaan perjanjian timbang tara yang sah untuk mengikat Malaysia dalam prosiding berkenaan.