MCMC Tetapkan Syarat Lesen Ke Atas Platform Media Sosial Berskala Besar Bermula Januari 2026

Oleh ABDULLAH HAMID

CYBERJAYA: Penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan platform media sosial yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna di Malaysia akan dianggap sebagai pemegang lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kelas (ASP(C)) mulai 1 Januari 2026.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan perkara itu akan dilaksanakan melalui Peruntukan Deeming di bawah Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang membolehkan pendaftaran lesen dibuat tanpa perlu melalui prosedur formal tertentu.

Menurut kenyataan MCMC, langkah tersebut bertujuan memastikan penyedia perkhidmatan digital berskala besar yang menawarkan perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial beroperasi secara tersusun serta mematuhi rangka kerja perundangan dan kawal selia negara.

Pendekatan itu juga selari dengan kerangka pelesenan baharu yang mula dikuatkuasakan pada 1 Januari 2025, bagi mempertingkat tahap akauntabiliti serta pematuhan platform digital terhadap undang-undang Malaysia.

MCMC menjelaskan, inisiatif berkenaan memberi penekanan khusus kepada tanggungjawab platform dalam menjamin keselamatan pengguna, termasuk melindungi kepentingan kanak-kanak dan institusi kekeluargaan dalam persekitaran dalam talian.

Pelaksanaan Peruntukan Deeming itu akan melibatkan platform yang memenuhi kriteria ditetapkan seperti WhatsApp, Telegram, Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube, dan hanya berkuat kuasa selepas tempoh pendaftaran sedia ada tamat bagi penyedia perkhidmatan yang telah memegang lesen.

Suruhanjaya itu turut menegaskan bahawa penyedia terlibat akan terus beroperasi melalui platform global masing-masing seperti biasa, sejajar dengan amalan antarabangsa dalam pengawalseliaan platform digital berskala besar.

Menurut MCMC, pihaknya akan meneruskan kerjasama rapat dengan penyedia perkhidmatan serta agensi penguat kuasa bagi memperkukuh keselamatan dalam talian demi kesejahteraan semua pengguna di negara ini.