Kerajaan Tegas Perangi Rasuah: MP Padang Serai dan Rakan Didakwa Berhubung Suapan RM400,000

Oleh Admin 05

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Padang Serai, Azman Nasrudin, bersama seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan berkaitan pemberian dan penerimaan rasuah berjumlah RM400,000 melibatkan projek ternakan lembu secara fidlot.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Azman didakwa bersekongkol dalam urusan tersebut dengan mengarahkan Kedah Agro Holding Berhad (KAHB) mengeluarkan surat tawaran projek kepada Mohd Hassanaim Fauzi, individu yang didakwa menyediakan wang suapan itu. Bayaran tersebut kemudiannya diserahkan kepada seorang lagi ahli perniagaan, Amar Assuat Abu Bakar.

Perbuatan tersebut didakwa berlaku pada 23 Jun 2020, ketika Azman memegang portfolio Exco Pertanian negeri Kedah.

Dalam prosiding sama, Amar Assuat turut berdepan dua pertuduhan berasingan kerana didakwa meminta dan menerima wang daripada Mohd Hassanaim sebagai balasan membantu mendapatkan projek usaha sama ternakan lembu pedaging di Ladang Fidlot Kedah Agro, yang terletak di Mukim Sungai Laka, Kubang Pasu.

Azman, 53, serta Amar Assuat, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mohd Nasir Nordin.

Kes terhadap Azman dikemukakan di bawah Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dan dibacakan bersama Seksyen 16(a) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan, sekiranya disabitkan bersalah.

Amar pula dituduh mengikut Seksyen 16(a)(A) akta sama atas pertuduhan meminta dan menerima suapan sebagai balasan membantu meluluskan projek tersebut.

Hakim turut menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM75,000 setiap seorang, berserta seorang penjamin. Kedua-dua tertuduh juga diarahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan diwajibkan melapor diri di pejabat SPRM sekali setiap bulan sehingga kes selesai.