SHAH ALAM, 5 Dis – Bekas Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, sekali lagi berdepan pertuduhan rasuah apabila beliau dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini melibatkan kes membabitkan RM64,924 berkaitan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Shamsul Iskandar, 50, yang hadir di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin, menafikan pertuduhan selepas ia dibacakan kepadanya.
“Saya faham pertuduhan. Tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan,” katanya.
Mengikut kertas pertuduhan, Shamsul, ketika memegang jawatan Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, didakwa menerima suapan berjumlah RM62,924 daripada seorang ahli perniagaan, Albert Tei Jiann Cheing, 37, antara 28 Nov 2023 hingga 23 Sept 2024 di sebuah bank di Country Heights, Kajang.
Dana tersebut dikatakan dimasukkan ke dalam akaun seorang wanita untuk tujuan membayar sewa sebuah rumah di Kuala Lumpur, sebagai balasan untuk membantu beberapa syarikat milik Tei mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Kes itu dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika disabitkan.
Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar syarat jaminan yang ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam digunapakai bagi kes ini. Hakim Mohd Nasir turut memerintahkan pertuduhan berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan.