KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Guan Eng, memberi peringatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa kerajaan tidak boleh mengetepikan suara rakyat Sabah tanpa menanggung kesan politik yang besar terhadap Pakatan Harapan (PH) dan gabungan kerajaan.
Dalam satu hantaran di Facebook, Ahli Parlimen Bagan itu menegaskan bahawa Anwar bebas untuk tidak mendengar pandangannya, namun suara rakyat Sabah tidak boleh dipandang enteng.
“Jika kerajaan terus mengabaikan keresahan pengundi Sabah, ia akan melemahkan prospek PH dan DAP, sekali gus menjejaskan sokongan terhadap kerajaan perpaduan,” katanya.
Lim turut menolak dakwaan bahawa beliau hanya mengkritik pelaksanaan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), dasar e-invois serta kelewatan bayaran balik lebihan cukai selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Menurutnya, isu-isu itu telah dibangkitkan berkali-kali di Parlimen sejak 4 Disember tahun lalu tetapi tidak mendapat perhatian kerajaan.
“Walaupun bantahan telah disuarakan berulang kali, perdana menteri tetap meneruskan pelaksanaan langkah-langkah tersebut pada separuh kedua 2025,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa sebelum PRN Sabah, beliau telah berucap berulang kali bagi mendesak kerajaan menangguhkan pengembangan skop SST, e-invois, cukai tambahan 2 peratus kepada KWSP bagi pekerja asing dan beberapa dasar percukaian lain yang dianggap membebankan rakyat serta peniaga.
“Sejak Disember 2024, sekurang-kurangnya tujuh ucapan saya di Dewan Rakyat menentang peluasan SST dan langkah-langkah lain ini. Malah media Parlimen pun boleh mengesahkan saya berkali-kali menuntut kajian semula,” katanya.
Dalam kenyataan berasingan, Lim turut mengangkat isu seorang pengusaha akademi muzik, Cheong Wei Foong, yang berdepan kelewatan bayaran balik lebihan cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sejak 2020.
Menurut Lim, Cheong telah beberapa kali ke pejabat LHDN untuk mendapatkan penjelasan namun tetap pulang hampa.
“Cheong mempunyai lebihan cukai RM112,000, tetapi hanya RM4,147 dibayar pada Mac tahun ini. Selebihnya masih tertangguh tanpa sebarang kepastian bila akan dikembalikan,” katanya.
Lim menekankan bahawa wang lebihan itu adalah hak syarikat dan tidak sepatutnya ditahan tanpa sebab munasabah.
Beliau menggesa LHDN mempercepatkan segala proses bayaran balik bukan sahaja untuk Cheong, tetapi juga bagi semua usahawan PKS yang mengalami masalah serupa.