KOTA KINABALU – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, meninggal dunia di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu awal pagi tadi pada usia 66 tahun.
Berita duka itu dimaklumkan oleh anaknya, Naim Kurniawan Moktar, menerusi hantaran di Facebook yang menyatakan bahawa bapanya menghembuskan nafas terakhir pada 1.46 pagi, 5 Disember 2025 (14 Jamadilakhir 1447H).
Beliau turut memohon doa agar Allah SWT mengampuni dan merahmati roh Allahyarham.
Menurut laporan Malaysiakini malam tadi, Bung Moktar dimasukkan ke hospital sehari sebelumnya selepas mengalami komplikasi serius membabitkan paru-paru, jantung dan buah pinggang, dan berada dalam keadaan kritikal ketika dirawat.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 baru-baru ini, Allahyarham berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Lamag dengan majoriti 153 undi dalam persaingan enam penjuru.
Kariernya di peringkat persekutuan pula bermula sejak Pilihan Raya Umum ke-10 pada 1999 apabila beliau memenangi kerusi Parlimen Kinabatangan – yang diwakilinya selama enam penggal berturut-turut.
Dilahirkan pada 15 September 1959 di Kampung Bilit, Sukau, Kinabatangan, Bung Moktar meninggalkan dua isteri, Nor Asidah Alimuddin dan Zizie Izette Abdul Samad, serta tujuh orang anak.
Sebelum terlibat dalam politik, beliau pernah bertugas sebagai Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) di Sandakan dari 1987 hingga 1990, sebelum berkhidmat di Majlis Amanah Rakyat (Mara) antara 1990 hingga 1992.
Kemudian, beliau dilantik sebagai setiausaha politik kepada Menteri Kewangan Sabah dari 1994 hingga 1999, sebelum memasuki arena politik nasional.
Namun, perjalanan politiknya turut dihimpit kontroversi selepas beliau dan isterinya, Zizie Izette, didakwa dalam kes rasuah membabitkan pelaburan Felcra berjumlah RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Pada 13 November lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan permohonan pasangan tersebut untuk menangguhkan prosiding membela diri dalam kes RM2.8 juta itu ke Januari depan berikutan keperluan menghadapi PRN Sabah pada 29 November.
Pemergian Bung Moktar menandakan berakhirnya era seorang tokoh politik Sabah yang lantang, berpengaruh, dan telah mencorakkan politik Kinabatangan selama lebih dua dekad.