KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerima sebanyak 1,583 permohonan untuk menurunkan kandungan yang berunsur perkauman dari 1 Januari hingga 30 November tahun ini, menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Daripada jumlah itu, 1,066 kandungan, bersamaan 67 peratus, telah dipadam oleh penyedia platform selaras dengan garis panduan komuniti serta undang-undang tempatan.
Fahmi berkata tindakan tersebut dilaksanakan berdasarkan peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bagi memastikan penggunaan media sosial berlaku secara bertanggungjawab dan tidak mencetuskan ucapan kebencian, provokasi kaum, atau penyebaran maklumat tidak sahih.
Beliau turut memaklumkan bahawa aduan rasmi mengenai kandungan tidak wajar boleh dihantar melalui portal aduan MCMC atau dibuat secara bertulis di mana-mana pejabat negeri suruhanjaya itu.
Sementara itu, isu melibatkan sensitiviti 3R (agama, raja dan kaum) berada di bawah siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), manakala keputusan sama ada kes tersebut didakwa atau tidak akan dibuat oleh Jabatan Peguam Negara, mengikut undang-undang berkaitan termasuk Akta Hasutan 1948, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Akta 588.