PUTRAJAYA: Bekas setiausaha politik kanan kepada perdana menteri, Shamsul Iskandar Akin, serta ahli perniagaan Albert Tei dijadual didakwa di mahkamah esok dan Jumaat berhubung kes rasuah, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Menurut Azam, kedua-duanya akan berdepan lima pertuduhan masing-masing — empat pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis dan satu lagi pertuduhan akan disebut di Mahkamah Shah Alam pada Jumaat.
Beliau memaklumkan bahawa Tei akan dituduh di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 kerana memberi suapan, manakala Shamsul bakal dituduh mengikut Seksyen 17(a) akta sama atas kesalahan meminta rasuah.
“Seorang lagi individu, Sofia Rini Buyong, tidak akan dituduh kerana beliau merupakan saksi pendakwaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SPRM.
Azam turut menjelaskan bahawa Tei bukan pemberi maklumat dalam kes ini dan tidak mendapat perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
Siasatan kes yang melibatkan kedua-dua individu itu diselesaikan selepas SPRM mengambil keterangan daripada 32 saksi.
Shamsul, yang juga Pengerusi PKR Melaka, meletakkan jawatan sebagai setiausaha politik perdana menteri selepas mendakwa wujud usaha menjatuhkan reputasinya serta mencemar imej kerajaan melalui kontroversi tersebut.
Tidak lama selepas peletakan jawatannya, Tei dipetik sebagai mendedahkan bahawa beliau membelanjakan RM629,000 bagi kerja pengubahsuaian, kelengkapan dan perabot di sebuah hartanah yang dikaitkan dengan Shamsul, selain beberapa barangan peribadi.
Tei turut memaparkan tangkap layar perbualan WhatsApp yang menunjukkan Shamsul didakwa meminta mata wang asing daripadanya sebelum melakukan perjalanan ke luar negara.