KUALA LUMPUR: Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengesahkan beliau telah mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kesediaannya untuk terus menyumbang khidmat selepas tempoh beliau sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berakhir susulan tamat lantikan sebagai senator semalam.
Menurut Tengku Zafrul, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada Perdana Menteri untuk menentukan peranan baharu yang bakal dipikul, namun menegaskan komitmennya untuk menyokong pentadbiran kerajaan dalam apa-apa kapasiti.
“Perkara ini telah dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet. Perdana Menteri memaklumkan bahawa mesyuarat itu adalah yang terakhir bagi saya sebagai menteri. Seperti yang dinyatakan Datuk Fahmi Fadzil, saya dijangka terus diberikan peranan bagi membantu kerajaan.
“Saya sendiri telah berbincang dengan Perdana Menteri sebelum ini dan menyatakan kesediaan untuk membantu negara dalam apa bentuk sekalipun. Namun, saya belum dimaklumkan keputusan muktamad,” katanya ketika ditemui selepas sesi dialog “Farewell MITI, Hello New Horizons” anjuran Kelab Concorde di Wisma Bernama.
Kelab Concorde merupakan kumpulan tidak rasmi yang menghimpunkan editor kanan organisasi media dalam dan luar negara.
Pada Isnin, Anwar memberi jaminan bahawa Tengku Zafrul akan diberikan tugas baharu, yang dijangka diumumkan hari ini. Kenyataan itu turut selari dengan penjelasan Fahmi Fadzil minggu lalu bahawa kerajaan berhasrat mengekalkan Tengku Zafrul dalam peranan lain.
Tengku Zafrul menamatkan dua penggal sebagai senator sejak 2020, iaitu tempoh maksimum enam tahun yang dibenarkan.
Dalam pada itu, beliau yang juga Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berkata, komitmennya terhadap pembangunan sukan badminton negara akan diteruskan, termasuk memainkan peranan lebih aktif dalam menyokong atlet kebangsaan.
Beliau memaklumkan akan menemani skuad badminton ke Sukan SEA 2025 di Thailand, selain menghantar pasukan berlepas pada Khamis ini.
“Saya yakin beberapa pemain kita berpotensi mara ke final yang dijadual berlangsung pada 14 Disember. Saya berharap dapat berada di sana untuk memberikan sokongan,” ujarnya.