Al-Sultan Abdullah Titah Henti Segera Kegiatan Songsang di Pahang

Oleh ABDULLAH HAMID

KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa terkejut dan menegaskan bahawa sebarang bentuk kegiatan tidak bermoral atau tidak selaras dengan nilai masyarakat tidak boleh berlaku di negeri ini.

Baginda bertitah agar aktiviti sedemikian dihentikan serta-merta dan menasihatkan rakyat supaya menjauhi perbuatan yang dianggap songsang. Titah berkenaan dikongsikan menerusi satu hantaran di laman Facebook Kesultanan Pahang pada Selasa.

“Saya berharap kegiatan seperti ini tidak wujud di Pahang. Nasihat saya, jauhilah perbuatan yang menyimpang dan tidak bermoral,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah turut mengarahkan Majlis Perbandaran serta pihak berkuasa daerah meningkatkan pemantauan, khususnya terhadap premis yang menyediakan kemudahan seperti spa.

“Jika ada premis yang menyediakan fasiliti seperti spa, ia perlu dipantau dengan lebih teliti agar tiada ruang untuk kegiatan songsang berlaku di Pahang,” titah baginda lagi.

Baginda menegaskan bahawa tindakan sewajarnya mesti diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat atau membenarkan aktiviti tersebut dijalankan.

Sebelum ini, media melaporkan penemuan sebuah pusat spa dan kesihatan di Chow Kit yang dipercayai menjadi lokasi perkumpulan golongan lelaki terlibat dalam kegiatan tidak bermoral. Serbuan itu dilakukan hasil risikan dua minggu oleh Bahagian D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Operasi yang bermula pada jam 8 malam Jumaat lalu itu membawa kepada penahanan 171 lelaki tempatan di premis berkenaan.