Anwar: Laporan Tahunan JKmR Dibawa ke Kabinet, Bukti Komitmen Kerajaan Perangi Rasuah

Oleh ABDULLAH HAMID

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa Laporan Tahunan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKmR) akan dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri untuk dibincangkan secara menyeluruh bersama kepimpinan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut beliau, laporan tersebut merangkumi penilaian JKmR terhadap laporan tahunan SPRM bagi tahun 2021 hingga 2024, termasuk penelitian terhadap pola semasa usaha pencegahan rasuah serta cabaran yang dihadapi suruhanjaya itu.

Anwar menegaskan bahawa setiap syor dan penemuan dalam laporan tersebut akan diteliti secara serius bagi memastikan agenda reformasi institusi terus dipertingkat, selain mengurangkan ketirisan serta mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran negara.

“Kerajaan Madani tetap komited kepada prinsip ketelusan, integriti dan tadbir urus yang baik. Insya-Allah, usaha menjadikan negara ini bebas rasuah dan memiliki tahap integriti tertinggi akan terus menjadi keutamaan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri menerima kunjungan hormat JKmR yang diketuai Pengerusinya, Datuk Mohd Shahar Abdullah, yang turut membentangkan laporan tahunan mereka kepada beliau buat pertama kalinya.