TUARAN – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur pihak pembangkang yang mendakwa mampu menyelesaikan masalah kemudahan asas di Sabah, termasuk isu bekalan air, dalam tempoh setahun sekiranya diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Menurut Anwar, dakwaan itu tidak berasas kerana kerajaan persekutuan bersama kerajaan negeri Sabah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor sudah pun melaksanakan pelbagai projek untuk menangani isu berkenaan.
“Tak payah kamu cakap (mampu selesaikan). Memang projek sudah berjalan. Tahun depan masalah air ini akan selesai. Yang buat siapa? Kerajaan persekutuan dan negeri. Ini ada cakap ‘aku menang baru nak buat’,” katanya ketika berucap pada sesi temu rapat di Dewan Kebudayaan Bajau Samah di Sulaman.
Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada Hajiji Noor atas komitmen berterusan dalam membawa suara dan keperluan rakyat Sabah ke peringkat persekutuan.
“Dia ganggu saya siang dan malam, fikir masalah orang Sabah — jalan di sini, air di sini, elektrik di sini. Saya nak tidur pun dia ganggu, tetapi saya hormat dia kerana buat kerja untuk rakyat Sabah,” katanya.
Perdana Menteri menegaskan bahawa usaha kerajaan bukan berasaskan janji kosong, tetapi melalui projek dan tindakan yang sudah dilaksanakan bagi memastikan masalah asas di Sabah diselesaikan secara menyeluruh.