Kerajaan Salur RM7 Juta Perkukuh Tindak Balas Monsun Timur Laut

Oleh Ahmad Fahmi

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan segera berjumlah RM7 juta bagi memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL), termasuk memastikan semua negeri dan agensi berkaitan dapat melaksanakan gerak kerja tindak balas dengan lebih teratur dan berkesan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata dana itu disalurkan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan turut merangkumi pelaksanaan Bantuan Wang Ihsan (BWI) bagi musim MTL 2025–2026.

Menurut beliau, pembayaran BWI akan diperhalusi berdasarkan maklumat ketua isi rumah (KIR) yang direkodkan dalam sistem MyInfo Bencana kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Bantuan ini amat penting bagi membantu keluarga yang terkesan akibat bencana. Setelah pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup, bayaran akan terus dikreditkan kepada KIR melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) sebagai bank pembayar yang dilantik. Proses ini dijangka mengambil masa antara satu hingga tiga hari,” katanya ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Nurul Amin Hamid (PN–Padang Terap) yang ingin mengetahui sama ada kerajaan bersedia mempertimbangkan insentif kewangan kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang turut terlibat membantu mangsa banjir di seluruh negara.