PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjelaskan bahawa lebih RM2 bilion peruntukan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk Sabah merangkumi rangkaian projek strategik yang sedang dilaksanakan dan bakal diperluas dalam tempoh terdekat.
Menurut MCMC, salah satu projek utama ialah pembangunan Bandar Raya Pintar Kota Kinabalu, kerjasama baharu bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang dimeterai pada Disember 2024 dengan nilai melebihi RM300 juta.
Projek ini merangkumi peluasan rangkaian gentian optik, penyediaan akses Wi-Fi awam, pemasangan smart poles dilengkapi teknologi 4G dan 5G, serta penggunaan CCTV pintar yang berhubung terus dengan pusat operasi bandar raya pintar.
MCMC menambah bahawa pelaksanaan JENDELA 2 turut diperkukuh di Sabah dengan penambahan 800 lokasi baharu, khususnya di kawasan pedalaman dan pulau, melibatkan kos keseluruhan RM1.4 bilion.
Usaha ini merangkumi kos pembangunan dan operasi untuk lima tahun, serta dijangka memberi manfaat kepada 3.7 juta penduduk, dengan sasaran mencapai liputan 100 peratus di kawasan berpenduduk.
Selain itu, sebanyak 131 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) kini beroperasi di seluruh Sabah sehingga September 2025, dengan perbelanjaan operasi mencecah RM210 juta bagi tempoh lima tahun.
NADI berperanan memastikan masyarakat, termasuk di kawasan pedalaman, mendapat peluang sama rata dalam ekonomi digital melalui penyediaan akses Internet, program latihan kemahiran, perkhidmatan dalam talian dan inisiatif literasi digital.
Kerajaan turut meneruskan pelaksanaan Fiber-to-the-Home (FTTH) di Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di kem-kem ATM seluruh Sabah, menyediakan sambungan gentian optik terus ke kediaman anggota tentera.
Setakat ini, sembilan kem tentera telah menerima manfaat tersebut, melibatkan kira-kira 6,900 rumah dengan peruntukan RM14.2 juta.
MCMC menegaskan bahawa keseluruhan inisiatif ini adalah komitmen kerajaan untuk meningkatkan kualiti rangkaian, memperkukuh keselamatan dalam talian dan membangunkan bandar pintar yang lebih menyeluruh demi kesejahteraan rakyat Sabah.