AGC Tegaskan Tiada Rayuan Isu 40% Hasil Sabah, Notis Difail Bagi Kekhilafan Penghakiman

Oleh ADINDA

PUTRAJAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan bahawa notis rayuan yang difailkan pada Khamis tidak berkaitan dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengenai tuntutan Pemberian Khas 40 peratus hasil Sabah.

Dalam satu kenyataan hari ini, AGC menjelaskan bahawa rayuan berkenaan hanya melibatkan sebahagian daripada alasan penghakiman yang didapati mempunyai beberapa kekhilafan dalam dapatan hakim.

“Notis rayuan itu dibuat terhadap aspek tertentu dalam keputusan mahkamah, khususnya melibatkan kesilapan yang dikenal pasti dalam Alasan Penghakiman Hakim Mahkamah Tinggi,” menurut kenyataan tersebut.

AGC turut menegaskan bahawa antara dapatan dalam alasan penghakiman yang dipersoalkan termasuk dakwaan bahawa kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri telah menyalahgunakan kuasa serta gagal memenuhi kewajipan Perlembagaan.

Jabatan itu sekali lagi menekankan bahawa kerajaan Persekutuan tetap tidak merayu keputusan berhubung Pemberian Khas Sabah berdasarkan kadar 40 peratus hasil, dan akan meneruskan proses rundingan dengan Kerajaan Negeri Sabah dalam masa terdekat.

Pada Selasa, Putrajaya mengumumkan bahawa ia tidak akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Sabah Law Society (SLS) mengenai hak Pemberian Khas tersebut.

Pada 17 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa kerajaan Persekutuan mempunyai tanggungjawab di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan untuk menjalankan semakan dan membuat pembayaran semula tuntutan 40 peratus hasil bersih yang diperoleh dari Sabah.

Mahkamah turut mengarahkan kerajaan Persekutuan melaksanakan semakan kadar Pemberian Khas dalam tempoh 90 hari, dan mencapai persetujuan pembayaran dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah dikeluarkan.

Selain itu, mahkamah membatalkan beberapa seksyen dalam tiga Warta Persekutuan bertarikh 20 April 2022, 24 Disember 2023 dan 27 Ogos 2025 selepas didapati bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan berkaitan hak Pemberian Khas Sabah.