KUALA LUMPUR, 13 November – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, mengesahkan bahawa 2 Disember 2025 akan menjadi hari terakhir beliau menerajui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Mengulas perkara itu, beliau mengakui wujud sedikit rasa hiba namun menyifatkan keputusan untuk berundur sebagai satu keperluan berdasarkan peruntukan undang-undang yang menetapkan hanya individu dalam Dewan Rakyat boleh berkhidmat sebagai menteri penuh.
“Saya memang berasa sedikit sedih dengan peralihan ini, tetapi secara undang-undang seseorang perlu berada dalam Dewan Rakyat untuk berkhidmat sebagai menteri.
“Justeru, saya tidak lagi boleh meneruskan peranan ini selepas 2 Disember,” katanya pada sidang media pengumuman Kad Laporan Prestasi MITI Suku Ketiga 2025, di sini hari ini.
Menurut Tengku Zafrul, segala keputusan berhubung pengganti beliau dan hala tuju kementerian selepas ini diserahkan sepenuhnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta kepimpinan kerajaan sedia ada.
“Fokus utama saya sekarang ialah memastikan proses peralihan berjalan dengan lancar. Selebihnya, semuanya saya serahkan kepada Perdana Menteri,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa setakat ini belum ada perbincangan rasmi mengenai kemungkinan beliau kekal menyumbang dalam kapasiti lain di MITI.
“Jika diperlukan, saya telah maklumkan kepada pimpinan bahawa saya sedia membantu. Buat masa ini, saya hanya menunggu arahan daripada Perdana Menteri,” katanya.
Tengku Zafrul turut menegaskan bahawa beliau belum menerima sebarang maklumat mengenai individu yang bakal menggantikan tempatnya di MITI.
Dalam ucapannya yang disifatkan paling emosional setakat ini, beliau mengucapkan terima kasih kepada seluruh warga MITI atas kerjasama dan dedikasi mereka sepanjang tempoh kepimpinannya.
“Saya sebenarnya berharap dapat terus bersama MITI… masih ada perkara yang ingin saya perbaiki,” katanya dalam nada berseloroh sebelum mengakhiri sidang media.