KUALA LUMPUR, 12 Nov – Kerajaan Madani menegaskan pendirian untuk tidak mencampuri urusan editorial mana-mana organisasi media di negara ini, sebaliknya terus mempertahankan prinsip kebebasan media sebagai tunjang penting dalam sistem demokrasi Malaysia.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata kerajaan menghormati peranan media sebagai wadah menyampaikan maklumat sahih dan sebagai pemantau akauntabiliti pentadbiran, namun kebebasan itu perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab dan berlandaskan etika profesional.
“Kerajaan Madani tidak akan menafikan hak media untuk melapor dan bersuara. Tetapi kebebasan itu perlu disertai disiplin kewartawanan dan kesedaran terhadap tanggungjawab kepada masyarakat,” katanya ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad (BN–Simpang Renggam) di Dewan Rakyat, hari ini.
Nie Ching menjelaskan, bagi memperkukuh ekosistem media yang bebas dan beretika, kerajaan telah menubuhkan Majlis Media Malaysia (MMM) di bawah Akta Majlis Media Malaysia 2025 [Akta 868], yang mula berkuat kuasa pada 14 Jun 2025.
Menurut beliau, penubuhan majlis itu menandakan langkah penting ke arah memastikan industri media diurus oleh pengamal media sendiri, sejajar dengan prinsip “of the media, by the media, for the media.”
“MMM telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan pertama pada 7 November lalu dengan penyertaan hampir separuh ahli majlis terdiri daripada wanita — satu pencapaian yang memperkukuh keterangkuman dalam sektor media,” katanya.
Beliau menambah, mesyuarat berkenaan turut meluluskan Kod Tatakelakuan dan Mekanisme Aduan bagi membolehkan aduan terhadap laporan media ditangani secara profesional tanpa campur tangan kerajaan.
Menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PAS–Pasir Mas) berhubung laporan sebuah portal berita yang dikatakan menjejaskan imej kerajaan, Nie Ching menegaskan kerajaan tidak akan memanggil atau menekan mana-mana media hanya kerana laporan yang tidak selari dengan pandangan kerajaan.
“Dalam pentadbiran ini, saya tidak akan panggil Malaysiakini hanya kerana tidak bersetuju dengan kandungannya. Mungkin ada pihak yang mahu menutup media yang tidak sehaluan dengan mereka, tetapi Kerajaan Madani tidak akan berbuat demikian,” katanya.
Beliau menegaskan, pendekatan menghormati kebebasan media inilah yang membezakan pentadbiran hari ini dengan kerajaan-kerajaan terdahulu.
Dalam pada itu, Nie Ching turut menyentuh isu akaun palsu di platform media sosial serta laporan mengenai syarikat Meta. Katanya, Meta telah mengeluarkan kenyataan rasmi menafikan wujudnya aktiviti luar biasa seperti yang didakwa, namun mengakui terdapat banyak akaun palsu digunakan untuk tujuan penipuan dalam talian.
“Laporan Reuters tahun 2024 menunjukkan hampir 10 peratus pendapatan Meta datang daripada iklan berbayar oleh kumpulan penipu. Jadi isu ini perlu ditangani secara menyeluruh, bukan dengan menyalahkan media,” jelasnya.
Nie Ching menutup jawapannya dengan menegaskan pendirian yang sering disuarakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa kerajaan menghormati kebebasan media walaupun tidak bersetuju dengan sebahagian laporan.
“Jika ada artikel yang tidak kita setujui, kita boleh nyatakan pendirian. Tidak perlu memanggil media untuk memberi penjelasan atau mengugut mereka. Itulah semangat Kerajaan Madani,” katanya.