PM Anwar: Malaysia perlu berwaspada terhadap iri hati dan ancaman luar

Oleh Ahmad Fahmi

PUTRAJAYA, 12 Nov – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan bahawa di sebalik pencapaian memberangsangkan yang dinikmati Malaysia ketika ini, negara tidak boleh leka atau terlalu selesa sehingga mengabaikan ancaman iri hati dan permusuhan dari luar yang boleh menjejaskan kestabilan nasional.

Menurut beliau, prestasi ekonomi negara ketika ini berada pada landasan kukuh — dengan ringgit antara mata wang paling berdaya tahan di rantau ini, kadar pengangguran terendah dalam tempoh sepuluh tahun, serta pelaburan asing yang mencecah rekod tertinggi sejak kemerdekaan.

Namun, katanya, sejarah telah membuktikan bahawa kejatuhan sesuatu bangsa sering bermula apabila wujud rasa alpa dalam mempertahankan kekuatan asas negara.

“Kita perlu bersyukur atas kemajuan ini, tetapi rasa syukur mesti datang bersama sikap waspada,” katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, hari ini.

Anwar menegaskan, kemajuan Malaysia yang semakin menyerlah di pentas antarabangsa pastinya menarik perhatian dunia dari sudut ekonomi dan geopolitik.

“Dari sudut positif, ia membawa limpahan pelaburan dan pelancongan. Tetapi kita juga perlu berhati-hati — adakah kita mampu mengekalkan ketahanan ini, termasuk menghadapi iri hati dan permusuhan luar,” ujarnya.

Beliau menambah, kekuatan negara tidak hanya bergantung pada angka pertumbuhan ekonomi, tetapi juga pada tekad rakyat untuk mengekalkan keamanan dan perpaduan.

“Ketahanan sebenar datang daripada rakyat yang sedar dan bersatu mempertahankan keharmonian,” katanya.

Perdana Menteri turut mengingatkan bahawa setiap jawatan, termasuk kedudukan beliau sendiri, hanyalah bersifat sementara dan perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab.

“Dalam sejarah kita, ada Perdana Menteri tidak sampai setahun, ada dua tahun, tiga tahun, malah ada yang berkhidmat hingga 22 tahun. Semua ini menjadi peringatan bahawa tiada yang kekal,” katanya.

Beliau turut menyeru agar Malaysia belajar daripada negara lain yang kelihatan aman tetapi sebenarnya rapuh kerana perpecahan agama, etnik dan ideologi.

“Kita tidak boleh beranggapan keamanan sedia ada akan kekal tanpa usaha memeliharanya,” tegasnya.

Anwar juga menekankan bahawa kestabilan politik adalah tunjang utama dalam memastikan kesejahteraan rakyat. Percaturan kuasa yang berpanjangan, katanya, hanya akan menjerumuskan negara ke dalam ketidaktentuan.

“Banyak negara di Asia bergelut dengan konflik antara mazhab, kaum dan ideologi sehingga menjejaskan imej serta kestabilan mereka. Kita mesti elak perkara sama,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, pentadbiran kerajaan hanya akan memberi manfaat kepada rakyat sekiranya dijalankan dengan integriti dan ketelusan.

“Kestabilan dan kuasa bukan lesen untuk merompak kekayaan negara. Sebab itu tadbir urus yang baik amat penting,” katanya.

“Sebesar mana pun peruntukan, jika disalah urus, masalah tetap tidak selesai. Tetapi jika pengurusan berintegriti, manfaatnya jauh lebih besar kepada rakyat,” tambahnya.

Anwar turut menyifatkan kejayaan Malaysia menarik minat pelabur teknologi global sebagai bukti bahawa negara memiliki dasar jelas serta keupayaan melaksanakannya dengan berkesan.

“Selagi kita kekal aman, stabil dan berdisiplin, Malaysia akan terus menjadi tumpuan dunia,” katanya mengakhiri ucapan.