Kelantan Simpan Jongkong Emas RM51 Juta Sebagai Aset Negeri

Oleh ADINDA

KOTA BHARU – Kerajaan Negeri Kelantan memiliki simpanan jongkong emas bernilai antara RM50 juta hingga RM51 juta yang direkodkan sebagai aset rasmi negeri dan diiktiraf dalam penyata kewangan setiap tahun.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, berkata semua jongkong emas tersebut adalah milik penuh kerajaan negeri dan disimpan di bawah kawalan rasmi bagi tujuan ketelusan rekod serta pengurusan fiskal yang bertanggungjawab.

Menurut beliau, emas itu tidak dimasukkan terus ke dalam Akaun Hasil Disatukan kerana negeri mengamalkan sistem belanjawan berasaskan tunai, yang hanya merekodkan transaksi tunai dalam tahun kewangan semasa.

“Aset jongkong emas ini akan diiktiraf sebagai hasil apabila dijual, dan pada waktu itu akan dimasukkan ke dalam Akaun Hasil Disatukan selaras dengan Perkara 97 Perlembagaan Persekutuan,” katanya semasa sesi penggulungan Belanjawan Negeri dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, di sini, semalam.

Beliau menjawab pertanyaan yang dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Mohd Syahbuddin Hashim (BN–Galas) berhubung status simpanan jongkong emas negeri tersebut.

Dr Mohamed Fadzli turut mendedahkan bahawa kerajaan negeri sedang meneliti cadangan menjadikan jongkong emas berkenaan sebagai sandaran bagi pinjaman kewangan antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.

“Perbendaharaan negeri sedang mengkaji mekanisme menjadikan jongkong emas ini sebagai cagaran bagi pinjaman dengan Persekutuan memandangkan polisi semasa membenarkan aset seperti tanah atau emas dijadikan sandaran,” jelasnya.

Beliau menegaskan, langkah itu mencerminkan kecekapan dan kebertanggungjawaban kerajaan negeri dalam menguruskan aset strategik bagi memastikan hasil perlombongan emas dimanfaatkan sepenuhnya untuk pembangunan negeri.

Dalam pada itu, Dr Mohamed Fadzli menafikan dakwaan bahawa kenyataannya sebelum ini memperlekeh cara negeri lain menguruskan hasil emas masing-masing.

“Saya hanya menjelaskan bahawa struktur hasil di Kelantan berbeza, di mana kita memberikan peratusan lebih tinggi kepada pelombong dan rakyat tempatan,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa hasil perlombongan emas di Kelantan memperuntukkan 10 peratus kepada kerajaan negeri serta empat peratus kepada Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), manakala negeri lain lazimnya mengenakan kadar antara lima hingga tujuh peratus sahaja.

Menurutnya, struktur tersebut membuktikan bahawa kerajaan negeri mengutamakan kebajikan rakyat dan pelombong kecil, selain memastikan sumber hasil negeri diagihkan dengan adil tanpa menjejaskan keutuhan fiskal kerajaan.