Bakat Tempatan Penentu Kejayaan Industri Semikonduktor – Anwar

Oleh Ahmad Fahmi

CYBERJAYA, 6 Nov — Kejayaan Malaysia membina industri semikonduktor bertaraf dunia bergantung sepenuhnya kepada keupayaan negara melahirkan bakat tempatan yang berkemahiran tinggi serta mampu memenuhi keperluan pelabur global, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, walaupun dasar kukuh dan prasarana lengkap memainkan peranan penting, pembangunan tenaga kerja tempatan tetap menjadi cabaran utama yang perlu diberi keutamaan dalam memastikan ekosistem semikonduktor negara benar-benar mampan.

“Aspek paling mencabar ialah kumpulan bakat (talent pool). Apa gunanya kita ada dasar yang baik, kemudahan moden dan insentif menarik, tetapi tenaga kerja datang sepenuhnya dari luar? Dalam dunia global kita terbuka, namun kekuatan dalaman tetap perlu dipupuk,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika merasmikan Malaysia Semiconductor IC Design Park 2, hasil kerjasama antara Selangor Information Technology & Digital Economy Corporation (Sidec) dan Kerajaan Negeri Selangor, di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Perdana Menteri menegaskan bahawa pembangunan sektor semikonduktor memerlukan pelaksanaan yang pantas, prasarana berkualiti tinggi, dan tenaga kerja mahir bagi menarik lebih banyak pelaburan asing bernilai tinggi ke negara ini.

“Kita mampu sediakan infrastruktur dan insentif yang kompetitif untuk menarik pelabur, tetapi untuk melindungi kepentingan negara, kita perlu memastikan kumpulan bakat tempatan lengkap dan terlatih,” katanya.

Anwar menjelaskan, kerajaan sedang melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkukuh kemahiran tenaga muda melalui kerjasama antara kementerian, Khazanah Nasional, dan pihak industri bagi memperluas latihan semula serta program peningkatan kemahiran.

“Kerjasama semua pihak amat penting — kementerian, Khazanah, dan industri — bagi memastikan anak muda berbakat mendapat peluang latihan yang sesuai dengan keperluan semasa,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menekankan keperluan institusi pengajian tinggi menyesuaikan kurikulum akademik dengan kehendak industri supaya graduan yang dilahirkan benar-benar bersedia menghadapi keperluan pasaran kerja masa depan.

“Universiti dan industri perlu bergerak seiring. Industri yang tahu jenis kemahiran dan profesional yang mereka perlukan, jadi universiti mesti bersinergi dengan keperluan itu,” katanya.

Perdana Menteri turut memuji langkah Kementerian Pendidikan Tinggi dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang berjaya menubuhkan Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) pertama negara dalam tempoh hanya tiga bulan — lebih pantas daripada tempoh lapan bulan seperti biasa.

“Ini bukti bahawa dengan hala tuju jelas dan tindakan segera, kita mampu bergerak pantas. Malaysia perlu terus mengekalkan momentum ini bagi menyokong industri baharu,” katanya.

Anwar berkata, pelancaran IC Design Park 2 bukan sahaja memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan semikonduktor global, tetapi juga membuka ruang luas untuk melahirkan tenaga muda tempatan yang akan memacu agenda transformasi digital negara.

Pada majlis sama, beliau turut merasmikan Pusat Pengujian Cip Canggih (Advanced Chip Testing Centre) yang bakal menjadi kemudahan pengujian cip bertaraf dunia pertama di Asia Tenggara.

Sementara itu, Amirudin berkata pusat berkenaan akan menjadi pemangkin utama dalam usaha membangunkan ekosistem semikonduktor negara yang lengkap, meliputi aspek reka bentuk, pengujian dan pengesahan cip.

Pusat tersebut juga merupakan sebahagian daripada strategi nasional untuk menjadikan Malaysia bukan sekadar pengeluar cip kontrak, tetapi sebagai pereka dan pemilik teknologi cip tempatan.