APEC 2025: Malaysia tegaskan kerjasama dengan AS berpaksikan keadilan dan integriti

Oleh FATIN AQILAH

GYEONGJU — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa kerjasama strategik antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) sentiasa berpaksikan prinsip keterbukaan, keadilan serta saling menghormati, selaras dengan pendekatan dasar luar Malaysia yang berprinsip dan seimbang.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, di luar Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) di Gyeongju, Korea Selatan, pada Jumaat.

“Perbincangan kami menumpukan kepada usaha memperkukuh hubungan ekonomi dua hala, termasuk komitmen bersama antara Perbendaharaan AS dan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi memastikan dasar pertukaran mata wang yang berdaya tahan, kestabilan pasaran kewangan serta tadbir urus yang telus dan berintegriti,” katanya dalam kenyataan kepada media Malaysia di sini.

Menurut Anwar, kedua-dua pihak turut membincangkan inisiatif memperkukuh sistem kewangan yang mampan dan terbuka, selaras dengan aspirasi APEC untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan berdaya tahan di rantau Asia Pasifik.

Bessent dalam pertemuan itu turut menyampaikan penghargaan kerajaan AS terhadap layanan mesra Malaysia semasa lawatan rasmi Presiden Donald Trump ke Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Saya turut menzahirkan penghargaan kepada Presiden Trump atas kunjungan beliau yang mencerminkan komitmen tinggi kepimpinan AS dalam memperkukuh hubungan dua hala yang konstruktif dan saling menghormati,” kata Perdana Menteri.

Anwar menegaskan bahawa Malaysia menghargai peranan AS dalam memperluas jaringan pelaburan, perdagangan dan keamanan global, berasaskan dialog, keadilan serta semangat saling memahami, sejajar dengan matlamat Malaysia untuk menjadi rakan strategik yang berprinsip di peringkat antarabangsa.