KUALA LUMPUR, — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengadakan pertemuan ringkas dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Isnin sebelum pemimpin itu berlepas ke Tokyo, Jepun.
Anwar berkata pertemuan tersebut memberi ruang untuk meneliti semula beberapa hasil penting daripada perbincangan dua hala Malaysia–AS yang telah diadakan sebelum ini, termasuk aspek kerjasama strategik dalam perdagangan, teknologi dan keselamatan serantau.
“Saya turut menyampaikan penghargaan kepada Presiden Trump atas peranannya yang signifikan dalam Perjanjian Damai Kuala Lumpur (KL Accord) serta Pelan Damai Gaza, yang kedua-duanya memberi sinar harapan ke arah keamanan yang adil dan berkekalan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Trump tiba di Kuala Lumpur pada Ahad bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN–AS ke-13 sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, yang dianjurkan oleh Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Sepanjang lawatan dua harinya, Presiden AS itu turut mengadakan beberapa mesyuarat dua hala dengan pemimpin serantau serta menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Thailand dan Kemboja, yang bertujuan menamatkan pertikaian sempadan berlarutan antara kedua-dua negara tersebut.
Sidang kemuncak kali ini membawa tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, dengan fokus kepada usaha memperkukuh integrasi serantau, memperluas kerjasama ekonomi serta menangani pelbagai cabaran global termasuk isu keamanan dan kestabilan di rantau Asia-Pasifik.