Tiada judi, arak di sekolah – PM

Oleh Ahmad Fahmi

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa sebarang aktiviti melibatkan arak dan perjudian tidak boleh sama sekali diadakan di kawasan atau dewan sekolah kerana ia bercanggah dengan konsep serta falsafah pendidikan negara.

Menurut Anwar, sekolah perlu kekal sebagai tempat mendidik anak-anak dengan nilai moral, sahsiah dan disiplin, bukannya lokasi untuk sebarang kegiatan yang boleh mencemarkan imej institusi pendidikan.

Beliau menegaskan suasana sekolah, walaupun selepas waktu pembelajaran, tidak wajar digunakan untuk program yang melanggar peraturan atau bercanggah dengan prinsip pendidikan negara.

Anwar turut menjelaskan bahawa walaupun dewan sekolah disewa oleh badan bebas, penganjuran program yang melibatkan arak atau perjudian tetap dianggap tidak sesuai dan bertentangan dengan nilai pendidikan.

Kenyataan itu dibuat bagi menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, berhubung isu penganjuran pesta arak di kawasan sebuah sekolah menengah di Ipoh, Perak, pada 27 September lalu.

Tambah Perdana Menteri lagi, langkah menghalang aktiviti seumpama itu bukan bertujuan menafikan hak masyarakat bukan Islam, tetapi untuk memastikan sekolah kekal berfungsi sebagai pusat pembentukan ilmu dan akhlak generasi muda.