Kementerian Kewangan (MOF) berkata, Kerajaan telah menjimatkan sekitar RM5 bilion setahun melalui penyasaran semula subsidi diesel di bawah Program Budi Madani Diesel (Budi Diesel) sejak ia mula dilaksanakan pada 10 Jun 2024.
MOF berkata, penjimatan ini telah mengurangkan tekanan terhadap fiskal negara serta membolehkan dana disalurkan semula bagi tujuan yang lebih produktif, termasuk memperkukuh jaringan keselamatan sosial rakyat.
Antara langkah proaktif kerajaan adalah menambah baik bantuan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara), dengan meningkatkan peruntukan kepada RM13 bilion di bawah Belanjawan 2025, berbanding RM10 bilion ringgit pada tahun sebelumnya dan seterusnya kepada RM15 bilion melalui inisiatif Penghargaan Sara.
Hasil penjimatan juga digunakan untuk membiayai projek-projek pembangunan yang dapat meningkatkan kapasiti produktif negara
Selain itu, MOF memaklumkan bahawa lebih 140,000 penerima Budi Individu dan 180,000 penerima Budi Agri-Komoditi telah diluluskan, dengan jumlah bayaran masing-masing sebanyak RM430 juta dan RM350 juta.
Bagi segmen kenderaan pengangkutan darat barangan di bawah Program Budi MySubsidi Diesel, setakat 30 Sept 2025, MOF berkata sejumlah 121,618 syarikat melibatkan 355,074 kenderaan telah diluluskan bagi kemudahan penggunaan “fleet card”.
MOF berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Abdul Khalib Abdullah (PN–Rompin) yang ingin mengetahui keberkesanan penyasaran subsidi petrol dan diesel dalam mengurangkan ketirisan serta beban fiskal negara.