KOTA KINABALU: Spekulasi mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah semakin kuat apabila Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, dilihat menghadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman, di Istana Negeri, pagi ini.
Kenderaan rasmi membawa Hajiji, yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), tiba di pekarangan istana sekitar jam 8.51 pagi, disusuli kehadiran ramai petugas media yang mula berkumpul sejak 7.30 pagi bagi mendapatkan maklumat terkini berhubung perkembangan politik negeri itu.
Difahamkan, satu sidang media khas dijangka diadakan di Menara Kinabalu sebaik Ketua Menteri selesai menghadap Tun Musa, dipercayai berkaitan pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Mengikut Perlembagaan Negeri Sabah, DUN akan terbubar secara automatik pada 11 November ini, menandakan penggal lima tahunnya hampir berakhir.
Jumaat lalu, Pejabat Media dan Komunikasi Jabatan Ketua Menteri memaklumkan bahawa jemputan rasmi untuk sidang media berhubung pembubaran DUN akan dibuat pada masa yang sesuai, namun setakat ini tiada pengumuman rasmi dikeluarkan.
Dari segi kedudukan terkini, blok kerajaan negeri diketuai GRS bersama Pakatan Harapan (PH) serta tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang menyokong kerajaan, dengan jumlah keseluruhan 53 kerusi, termasuk empat ADUN dilantik.
Sementara itu, blok pembangkang pula terdiri daripada Parti Warisan, BN, dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang menguasai 22 kerusi, termasuk dua ADUN dilantik.
Kedudukan politik Sabah turut berubah minggu lalu apabila Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) mengumumkan keputusan untuk keluar daripada GRS serta bertanding secara solo dalam PRN ke-17.
Keputusan itu dimuktamadkan dalam Mesyuarat Majlis Presiden GRS yang dipengerusikan Hajiji di Sri Gaya, selepas kedua-dua parti enggan terikat dengan rundingan agihan kerusi antara GRS dan PH.
Bagaimanapun, kenyataan rasmi hanya menyebut bahawa keanggotaan STAR dan SAPP dalam GRS tamat secara automatik, tanpa menjelaskan sama ada kedua-dua parti itu masih kekal menyokong kerajaan negeri.
Setakat ini, terdapat dua kerusi kosong dalam DUN Sabah — satu di Sungai Sibuga susulan kematian Datuk Mohd Hamsan Awang Supain pada Januari lalu, dan satu lagi di Melalap selepas Datuk Peter Anthony hilang kelayakan sebagai ADUN berikutan sabitan mahkamah.
Ketika ini, tiada pengumuman rasmi dibuat mengenai pembubaran DUN atau tarikh sidang media khas tersebut, namun jangkaan bahawa pengumuman besar akan dibuat oleh Ketua Menteri dalam masa terdekat semakin kuat.