PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim menggesa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin agar menzahirkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kejayaan membawa pulang 23 aktivis Malaysia yang ditahan rejim Israel baru-baru ini.
Menurut Hassan, sebagai ketua blok pembangkang, Hamzah seharusnya menunjukkan semangat kenegaraan dengan memberi sokongan terhadap usaha diplomatik kerajaan, bukannya mendesak Perdana Menteri meletak jawatan.
“Perdana Menteri telah melakukan yang terbaik untuk memastikan keselamatan dan kepulangan rakyat Malaysia yang ditahan. Adalah amat beradab dan terpuji sekiranya Ketua Pembangkang sanggup mengucapkan terima kasih serta tahniah kepada Anwar dan kerajaan di Dewan Rakyat esok,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Hamzah yang dibuat ketika menyertai perhimpunan membantah Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) dan solidariti untuk sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) semalam.
Hassan menegaskan, dalam situasi membabitkan keselamatan rakyat di luar negara, semua pihak tanpa mengira latar politik perlu bersatu menghadapi ancaman luar.
“Apabila nyawa 23 rakyat Malaysia berada dalam bahaya akibat tindakan Israel, tanggungjawab kerajaan adalah memastikan mereka diselamatkan. Dalam keadaan getir itu, Anwar telah berjaya melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik,” katanya.
Pada 2 Oktober lalu, 23 aktivis Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF ditahan tentera Zionis selepas kapal mereka dipintas di kawasan perairan Zon Merah R3, Laut Mediterranean, sebelum dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.
Bagaimanapun, Perdana Menteri semalam mengumumkan semua aktivis terbabit telah dibebaskan hasil rundingan diplomatik intensif antara Malaysia dan beberapa pihak antarabangsa, termasuk Amerika Syarikat, Qatar serta kerjasama penuh Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.