KUALA LUMPUR, 26 Jun 2025 – Kerajaan kini dalam peringkat perbincangan untuk memperkenalkan satu skim insurans asas, sebagai langkah strategik bagi menangani kebimbangan rakyat terhadap peningkatan kos perubatan yang kian membebankan.
Perkara itu diumumkan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, yang memaklumkan bahawa satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan bagi meneliti pelaksanaan skim berkenaan. Jawatankuasa itu melibatkan kerjasama antara Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia (BNM), Kementerian Kesihatan, serta beberapa agensi lain yang berkaitan.
“Antara usaha yang kita ada adalah melalui program RESET untuk melihat macam mana kita mahu mewujudkan skim insurans asas untuk rakyat Malaysia.
Cadangan penubuhan skim berkenaan masih dalam peringkat perbincangan bagi memastikan pelaksanaannya memberikan manfaat dan tidak membebankan mana-mana pihak,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Inisiatif Belanjawan 2025 oleh Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Bhd (SME Bank), di sini, hari ini.
Amir Hamzah menjawab soalan media berhubung cadangan membenarkan pengeluaran Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tujuan pembayaran premium insurans kesihatan.
Menurut beliau, usaha merangka skim insurans itu turut melibatkan kerjasama daripada pengendali insurans dan takaful (ITO) serta wakil daripada sektor kewangan.
“Apabila sudah bersedia, kita akan umumkan model pelaksanaannya. Kita juga terbuka kepada sebarang cadangan, termasuk model seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), tetapi keutamaannya adalah membangunkan produk yang benar-benar bersesuaian dengan keperluan rakyat Malaysia,” jelasnya.
Dalam majlis sama, Amir Hamzah turut melancarkan satu inisiatif strategik bernilai RM211 juta oleh SME Bank, bagi menyokong pertumbuhan inklusif dan mampan dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Turut hadir, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick; Pengerusi SME Bank, Datuk Muslim Hussain; serta Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SME Bank, Datuk Mohammad Hardee Ibrahim.