Putra Heights dijangka pulih semula sepenuhya dalam 2 tahun. Kediaman penduduk yang terjejas dalam tragedi kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada awal April lalu dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun, menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming.
Beliau berkata kerja-kerja pembinaan dan pemulihan sebanyak 219 buah rumah yang terjejas sedang berjalan mengikut jadual seperti yang dirancang.
“Kontraktor sedang giat membina semula rumah-rumah yang musnah sepenuhnya dan membaik pulih rumah yang masih boleh diselamatkan. Harapan kita, dalam tempoh kurang dua tahun, semua kediaman ini akan siap dan penduduk boleh kembali ke rumah masing-masing,” kata Nga.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi tetamu dalam rakaman program Ruang Bicara terbitan Bernama TV yang membincangkan topik “UN-HABITAT: Malaysia Sedia Terajui Pembangunan Mampan Global”, di Wisma Bernama, Kuala Lumpur hari ini.
Tambah Nga, kerajaan melalui KPKT telah memperuntukkan sebanyak RM46 juta bagi membiayai proses baik pulih rumah-rumah serta infrastruktur awam yang rosak akibat insiden tersebut.
Kebakaran besar yang berlaku pada 1 April lalu berpunca daripada letupan paip gas, menyebabkan api marak setinggi 30 meter dengan suhu mencecah lebih 1,000 darjah Celsius. Operasi memadamkan kebakaran itu mengambil masa hampir lapan jam untuk dikawal sepenuhnya.
Kejadian tersebut mengakibatkan:
- 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan melebihi 40%,
- 81 rumah separa musnah,
- 57 rumah terkesan tetapi tidak terbakar, dan
- 21 rumah tidak mengalami sebarang kerosakan.
Nga menegaskan bahawa kerajaan komited membantu mangsa yang terjejas dan memastikan mereka dapat kembali menjalani kehidupan seperti sediakala dalam kediaman yang selamat dan selesa.
BACA JUGA :
Hospital Putrajaya diiktiraf antara hospital terbaik dunia 2025!
Kantoi!! Rakyat Malaysia serbu pentas utama Merdeka ‘curi’ bunga hiasan di Putrajaya
Tak boleh terima kekalahan, Ketua Armada Putrajaya dikecam netizen kerana persenda Orang Asal