Isu tak berpenghujung, NGO diminta bela anjing liar bukan asyik membantah

Oleh ABDULLAH HAMID

Masalah anjing liar yang terus membiak tanpa kawalan seakan tiada noktah. Kehadiran haiwan ini bukan sahaja mengganggu ketenteraman awam, malah ada yang menjadi ancaman kepada keselamatan orang ramai. Namun, setiap kali tindakan diambil untuk mengurangkan populasi mereka, timbul pula bantahan daripada NGO dan pencinta haiwan yang menganggap kaedah itu kejam.

Mengulas perkara ini, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, menegaskan bahawa kumpulan tersebut tidak sepatutnya hanya tahu membantah, sebaliknya perlu turun padang membantu pihak berkuasa.

“Kita sudah nyatakan dengan jelas bahawa semua tindakan pelupusan anjing liar dibuat mengikut undang-undang dan SOP yang ditetapkan. Anjing-anjing ini akan disimpan beberapa hari selepas ditangkap,” katanya ketika ditemui pada Majlis Anugerah Kebitaraan Akademik SPM 2024 di Klana Resort semalam.

Menurutnya lagi, tempoh tersebut sepatutnya dimanfaatkan oleh NGO dan individu prihatin untuk mengambil dan memelihara anjing-anjing tersebut sekiranya benar-benar mahu membantu.

“Jadi, tiada isu anjing ini akan terus ditembak atau dibunuh sewenang-wenangnya. Prosedur jelas telah digariskan, tinggal lagi siapa yang betul-betul mahu bertanggungjawab,” ujarnya.

Tambah Aminuddin, dasar ini akan terus diteruskan kerana ia telah pun mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam sidang DUN yang lalu. Ia juga dibuat selepas mengambil kira keselamatan awam.

“Kami tidak boleh memandang ringan aduan yang diterima, lebih-lebih lagi apabila melibatkan kes serangan oleh anjing liar yang menyebabkan kecederaan kepada penduduk. Ketika kejadian seperti ini berlaku, tidak pula kelihatan mana-mana NGO atau pencinta haiwan yang tampil membantu,” katanya dengan nada tegas.

Dengan pelaksanaan dasar ini, kerajaan negeri berharap keseimbangan dapat dicapai antara kebajikan haiwan dan keselamatan masyarakat. Namun, kerjasama dari semua pihak amatlah diperlukan — bukan sekadar bersuara di media sosial, tetapi hadir dengan tindakan yang nyata.

BACA JUGA :

“Dapat pakwe orang putih, kau jadi…” – Maya Karin pegang anjing cetus provokasi

Halal atau haram? Sharifah Sakinah ‘enjoy sakan’ menari dengan anjing

Ganas betul rupanya anjing peliharaan Presiden AS, dah 10 kali pegawai di White House kena gigit