Jalur gemilang pun silap, tapi semua senyap – Pas dicabar bertanggungjawab. Parti Islam Se-Malaysia (PAS) digesa tampil bertanggungjawab sepenuhnya atas kesilapan memaparkan Jalur Gemilang yang salah dan tidak lengkap dalam logo promosi acara Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 1.0), yang dijadual berlangsung hujung Mei ini di Kemaman.
Timbalan Ketua Penerangan PKR, Chua Wei Kiat tidak berselindung apabila mempersoalkan sikap diam PAS dalam isu ini, sedangkan mereka pernah begitu lantang bersuara bila insiden sama berlaku melibatkan pihak lain.
“Dulu Serang Sin Chew, Sekarang Diam Bila Sendiri Silap”
Menurut Chua, insiden kesilapan bendera ini bukan yang pertama berlaku di Malaysia. Sebelum ini, Pemuda PAS pernah menyerang keras akhbar Sin Chew Daily kerana kesilapan pada Jalur Gemilang dalam ilustrasi mereka.
“Mereka waktu itu mendesak tindakan tegas diambil, sindir permohonan maaf sebagai tidak cukup dan meniup sentimen perkauman demi kepentingan politik,” katanya.
Tetapi kini, tambah Chua, apabila kesilapan yang lebih besar datang dari PAS sendiri — dengan paparan Jalur Gemilang hanya 11 bucu dan 12 jalur — tiada suara garang kedengaran. Sekadar permohonan maaf senyap-senyap, seperti berharap rakyat akan ‘lupa dan maafkan’ begitu sahaja.
“Kalau Ikhlas Cintakan Negara, Serah Saja Siapa Salah”
Chua mencabar PAS untuk menyerahkan individu yang bertanggungjawab kepada polis, jika benar mereka serius mahu menegakkan nilai patriotisme.
“Jangan hanya jadi wira bila lawan yang silap, tapi diam membisu bila kesilapan datang dari kem sendiri. Itu bukan berprinsip, itu politik bermuka-muka,” tegas beliau.
Jalur Gemilang Bukan Milik Parti, Tapi Simbol Negara
Chua yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rawang menekankan bahawa Jalur Gemilang adalah lambang kedaulatan negara, bukan hiasan parti politik.
Kesilapan seperti ini, katanya, bukan sahaja memalukan, malah mencemarkan simbol penting negara. Lebih membimbangkan apabila kesalahan ini berulang-ulang, termasuk insiden lain seperti dalam akhbar Kwong Wah Yit Poh dan papan iklan di Bukit Bintang.
“Rakyat Dah Mula Muak Dengan Politik Hipokrit”
Chua turut menyindir sikap segelintir ahli politik yang hanya menjaja semangat patriotisme apabila ia boleh dimanipulasi untuk keuntungan politik, tetapi senyap seribu bahasa bila kesalahan datang dari pihak sendiri.
“Malaysia perlu politik yang matang, bukan politik dua wajah. Cukup-cukuplah main sentimen kaum dan agama, rakyat sekarang sudah bijak menilai,” ujarnya.
BACA JUGA :
Paparan jalur gemilang tak lengkap: Syarikat makanan bayi Singapura disiasat KDN
Jalur gemilang iringi perjalanan terakhir 9 anggota FRU
Rakyat Singapura rasa kaya di Malaysia, hakikatnya miskin di negara sendiri