Stereng lori batu rosak jadi punca 9 anggota FRU maut. Satu insiden menyayat hati berlaku di Sungai Lampam, Simpang Tangki Air, Langkap hari ini apabila sebuah lori membawa muatan batu merempuh trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) milik Polis Diraja Malaysia (PDRM), dipercayai akibat kegagalan sistem stereng.
Akibat daripada rempuhan itu, sembilan anggota FRU dilaporkan terkorban, menjadikan insiden ini antara tragedi jalan raya paling buruk melibatkan anggota keselamatan tahun ini.
Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, trak FRU Unit 5 tersebut membawa 18 anggota dan sedang dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai menjalankan tugas kawalan sempena perayaan Chitrapournami di Hilir Perak.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, trak FRU berkenaan dirempuh secara tiba-tiba dari arah hadapan oleh sebuah lori sarat dengan batu yang dipercayai mengalami masalah pada stereng,” jelas beliau dalam satu kenyataan rasmi hari ini.
Pemeriksaan awal di lokasi menunjukkan bahawa lapan anggota termasuk pemandu trak FRU meninggal dunia di tempat kejadian akibat impak kuat pelanggaran, manakala enam lagi mengalami kecederaan parah dan empat cedera ringan.
“Kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan lanjut,” tambahnya.
Insiden tragik ini sekali lagi membangkitkan persoalan mengenai aspek keselamatan kenderaan berat di jalan raya, terutama yang membawa muatan besar yang boleh mendatangkan risiko tinggi kepada pengguna lain.
Semoga keluarga mangsa yang terlibat diberi kekuatan menghadapi ujian berat ini, dan semoga kejadian ini menjadi iktibar kepada semua pihak agar lebih peka terhadap aspek penyelenggaraan kenderaan berat.
BACA JUGA :
Perjalanan bertukar tragedi : Kronologi kemalangan maut FRU di Teluk Intan