Siapa yang tidak kenal dengan penyanyi rap, MK, yang merupakan anggota kumpulan K-Clique?
Seperti kebanyakan artis di Malaysia, beliau tidak terlepas dari gosip dan kecaman daripada pelbagai pihak.
Begitulah yang pernah dialami oleh MK, seorang jejaka kelahiran Tawau, Sabah
Pada suatu masa dahulu, beliau pernah mendapat kecaman hebat oleh orang ramai berikutan isu pemakaian gelang emas.
Pelbagai tuduhan dan kecaman diterimanya. Baru-baru ini, pelantikannya sebagai duta untuk pusat akademik dan tuisyen PTTI Group Sdn Bhd juga turut mencetuskan kontroversi.
Ramai yang beranggapan beliau tidak sesuai dengan imej ‘bad boy’ yang dibawanya, dan tidak layak untuk memegang jawatan tersebut.
Namun, sejak beliau dipilih menjadi duta PTTI awal tahun ini, serta menyertai kelas agama bersama kumpulan tabligh di Jerantut, Pahang, MK dilihat telah menunjukkan perubahan yang positif.
Benarkah MK Tidak Akan Memakai Gelang Emas Lagi?
Mengenai isu pemakaian gelang emas, MK berkata, “Doa sahaja yang terbaik. Yang baik kita jadikan teladan, yang buruk pula sebagai sempadan. Saya tidak mahu mengatakannya dengan pasti, takut memakan diri. Biarlah segala perubahan itu berlaku secara semula jadi tanpa perlu diumumkan.”
Tambahnya, seiring dengan usaha untuk memperbaiki diri, beliau cuba untuk menjadi lebih baik dari sebelumnya. “Karakter saya dalam dunia hiburan masih sama seperti dahulu. Setiap kecaman dan kritikan saya nilai dengan positif. Saya cuba untuk mengelakkan perkara yang perlu dielak, termasuk dalam soal imej diri. Saya tidak pernah sempurna,” ujarnya.
MK juga menyatakan bahawa beliau sudah lali dengan kecaman warganet, yang dianggap sebagai perkara biasa dalam dunia media sosial.
“Saya anggap rezeki itu satu perkongsian yang tidak dapat dielakkan.
Dikecam itu sudah menjadi perkara biasa. Seperti ketika saya dilantik menjadi duta PTTI, ramai yang mempertikaikan kelayakan saya tanpa mengetahui latar belakang akademik saya. Mereka menghukum saya berdasarkan imej saya sebagai seorang artis.”
Namun, bagi MK, peranan sebagai duta tersebut memberi tanggungjawab yang besar. “Ia membuatkan saya lebih bertanggungjawab dan berdisiplin. Saya percaya rezeki tidak pernah salah alamat, dan amanah ini akan saya pikul dengan sebaiknya,” katanya.
Mengejar Keseimbangan Hidup
Bagi MK, memuaskan hati semua orang bukanlah perkara mudah. “Dalam hidup ini, kita tidak boleh memuaskan hati semua pihak. Ada yang suka, ada yang tidak.
Yang menyukai kita pun belum tentu ikhlas. Namun, hidup perlu diteruskan. Saya sedar imej saya yang ‘bad boy’ sering dihukum, namun saya percaya setiap individu berhak dinilai dengan objektif.”
Beliau juga mengakui bahawa pada awalnya, beliau merasa sedih dengan kritikan yang diterima berkenaan pelantikannya sebagai duta PTTI. “Saya rasa ada orang lain yang lebih layak.
Tetapi saya percaya PTTI mempunyai sebab mereka memilih saya. Saya yakin dengan gabungan pencapaian akademik dan sedikit pengaruh saya, kita dapat mencapai matlamat untuk mendekati generasi muda, khususnya pelajar SPM.”
Latar Belakang Akademik MK
MK menjelaskan bahawa beliau pernah memperoleh keputusan yang cemerlang dalam SPM, dengan 5 A dan 3 B. “Saya juga pernah menuntut di UiTM Kota Kinabalu dalam bidang perniagaan dari 2012 hingga 2015. Keputusan itu adalah yang terbaik pernah saya capai, dan ia menjadi kenangan manis buat saya,” ujarnya.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman (Cikgu Fana), pihaknya mempunyai alasan yang kukuh dalam memilih MK sebagai duta PTTI. “Kita sering terburu-buru untuk menghukum.
‘Jangan menilai buku dari kulitnya’. Kami di PTTI mempunyai sebab yang jelas memilih MK.
Dia mempunyai pengaruh yang besar, dan entri media sosialnya sentiasa mendapat perhatian ramai.
Paling penting, dia juga cemerlang dalam bidang akademik dengan keputusan SPM yang cemerlang, 5 A dan 3 B,” jelas Cikgu Fana.
BACA: Memang jimat hanya guna dua jenis daun ini untuk halau nyamuk…