Sebuah kereta jenama McLaren yang dianggarkan bernilai £150,000 (RM841,000) menjadi perhatian di media sosial
selepas dilaporkan dibiarkan di hadapan sebuah hotel di London selama empat tahun, lapor akhbar Metro UK semalam.
Kereta model McLaren 570s berwarna merah jambu itu telah diparkir di luar Hotel St Pancras Renaissance sejak pandemik Covid-19 pada tahun 2020.
Video mengenai kenderaan tersebut dikongsikan di TikTok oleh akaun @soggyspin4ch, mencetuskan pelbagai perdebatan dan teori daripada netizen.
“Bila kereta ini akan bergerak? Ia telah berada di sini sepanjang musim Covid-19,” tulis keterangan dalam video itu.
Rakaman berkenaan menerima lebih 1.3 juta tontonan, dan ramai netizen tertanya-tanya mengenai misteri di sebalik kereta tersebut.
Seorang kakitangan Hotel St Pancras Renaissance kemudian menjelaskan: “McLaren ini dimiliki oleh seorang tetamu pada awal pandemik Covid-19 apabila dia menghadapi masalah untuk pulang ke negara asalnya.
“Kenderaan ini telah berada di sini sejak 2018, dan pemiliknya tinggal di hotel ini.
“Pihak pengurusan membenarkan kenderaan itu diletakkan di sini kerana ia kelihatan menarik,” tambahnya.
BACA: Gerakan tidak setuju dengan Ulama PAS bahawa PAS lebih layak jadi PM