Seorang guru Bahasa Arab menerima kejutan besar apabila diumumkan sebagai pemenang
Cabutan Jutawan Bank Simpanan Nasional (BSN) Sijil Simpanan Premium (BSN SSP) ke-105.
Guru Sekolah Kebangsaan Puncak Perdana, Mohd Azraien Rajab, 47, tidak menyangka usaha konsistennya
Menyimpan sejak tahun 2008 akhirnya membuahkan hasil dengan kemenangan hadiah bernilai RM1 juta.
Menurut Mohd Azraien, ini merupakan kali pertama beliau memenangi sebarang hadiah cabutan sepanjang 16 tahun menjadi penyimpan BSN SSP.
“Ketika cabutan Oktober dilakukan, saya sedang dalam perjalanan pulang ke Shah Alam dari kampung di Bachok, Kelantan. Saya menerima panggilan daripada seorang rakan yang memaklumkan saya memenangi RM1 juta menerusi kempen BSN SSP,” katanya.
Pada awalnya, beliau sukar mempercayai berita itu sehingga rakan tersebut menghantar pautan Facebook Live pengumuman rasmi. Isteri dan anak-anak beliau turut mengesahkan berita gembira itu selepas menontonnya.
“Alhamdulillah, ini rezeki yang tidak disangka-sangka kerana saya tidak pernah menang walaupun hadiah saguhati sebelum ini,” tambahnya ketika ditemui di Ibu Pejabat BSN Selangor.
Menyimpan Secara Konsisten
Mohd Azraien berkata, beliau mula menyimpan dalam BSN SSP selepas tertarik dengan promosi kempen yang dijalankan serta maklumat yang disampaikan oleh kakitangan bank.
“Setiap bulan, saya akan menambah simpanan sebanyak RM50. Gaji saya juga masuk menerusi BSN, jadi ia memudahkan saya untuk menambah tabungan bila diperlukan,” jelasnya.
Perancangan Selepas Kemenangan
Berhubung perancangan selepas menerima hadiah RM1 juta itu, Mohd Azraien menegaskan bahawa sebahagian daripada rezeki tersebut akan dikongsikan dengan orang lain.
“Keutamaan saya ialah zakat, sedekah, dan infaq. Selepas itu, saya bercadang menyimpan untuk menunaikan ibadah haji,” katanya.
Beliau juga merancang untuk mengadakan kenduri kesyukuran di kampung halaman pada Februari tahun depan supaya rezeki ini dapat dinikmati bersama keluarga dan masyarakat.
Selain itu, beliau ingin membawa isteri dan anak-anak bercuti sebagai penghargaan kepada mereka.
Menurut BSN, kini terdapat 3.83 juta penyimpan dalam BSN SSP dengan jumlah simpanan keseluruhan sebanyak RM5.46 bilion. Di Selangor sahaja, terdapat 407,318 penyimpan dengan jumlah simpanan RM651 juta.
Hadiah ini bukan sahaja menunjukkan kepentingan menabung secara konsisten, tetapi juga rezeki yang boleh hadir tanpa diduga.
BACA: Tak perlu bersesak ke restoran viral, ini resipi daging salai masak lemak pasti jadi