Realtime website trackingweb stats

Ini ciri teknologi canggih yang terdapat pada kad pengenalan model baharu

Oleh ARIF ABDULLAH

Tidak lama lagi, rakyat Malaysia akan menerima kad pengenalan baharu bagi menggantikan MyKad yang telah digunakan sejak tahun 2012.

Menurut laporan Buletin TV3, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, menjelaskan

Bahawa pengenalan kad pengenalan baharu ini bertujuan meningkatkan ciri keselamatan dokumen penting tersebut.

Kad pengenalan generasi baharu ini akan hadir dengan reka bentuk moden yang dilengkapi elemen seperti tulisan laser dan hologram.

Ia diperbuat daripada bahan polycarbonat, yang telah melalui ujian ketahanan di makmal bertauliah.

Ini ciri teknologi canggih yang terdapat pada kad pengenalan model baharu

“Ia bertujuan membendung cubaan memalsukan dan menyalahgunakan MyKad, yang merupakan dokumen penting di Malaysia,”

katanya ketika menjawab soalan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Kad pengenalan baharu ini juga akan dilengkapi storan berkapasiti lebih besar dengan ciri keselamatan terkini yang dipertingkatkan, sekali gus memastikan data peribadi lebih terjamin.

“Ciri keselamatan ini diyakini dapat mengatasi masalah pemalsuan dan kebocoran data,” tambah beliau.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Badrul Hisham Alias, menyatakan bahawa fungsi MyKad lama akan dimansuhkan apabila MyKad generasi baharu diperkenalkan bagi mengurangkan isu berkaitan pemalsuan identiti.

Difahamkan, JPN sedang menjalankan kajian pasaran bagi memastikan pelaksanaan MyKad baharu ini memberikan nilai terbaik dari segi kos dan faedah.

“Langkah ini bertujuan memastikan kos pengeluaran tidak membebankan kerajaan serta menjamin penggunaan sumber secara optimum, selaras dengan garis panduan kerajaan,” jelas Datuk Seri Dr Shamsul Anuar.

BACA: Bukan saja-saja guna, rupanya ini skop kerja gajah dalam pembinaan ECRL