Sebuah jam saku emas yang dihadiahkan kepada kapten kapal yang berjaya menyelamatkan
lebih 700 penumpang Titanic telah terjual pada harga GBP1.56 juta (AS$2 juta), lapor PA Media/dpa.
Menurut rumah lelong Henry Aldridge and Son di Devizes, Wiltshire, penjualan itu mencatat jumlah tertinggi yang pernah dibayar
untuk memorabilia Titanic dan dibeli oleh seorang pengumpul persendirian dari Amerika Syarikat.
Rekod sebelumnya adalah pada April lalu, apabila sebuah jam poket emas lain milik lelaki terkaya di kapal Titanic,
John Jacob Astor, dijual pada harga GBP1.175 juta di rumah lelong yang sama.
Jumlah penjualan itu termasuk yuran dan cukai yang ditanggung pembeli, menurut kenyataan pelelong. Astor, yang berusia 47 tahun, meninggal dunia semasa tragedi Titanic pada 1912 selepas memastikan isterinya, Madeleine, menaiki bot penyelamat.
Jam yang dijual pada Sabtu tersebut merupakan hadiah daripada isteri Astor serta dua balu ahli perniagaan kaya lain yang turut hilang dalam kejadian itu. Kapten Rostron menerima hadiah tersebut dalam satu jamuan makan tengah hari di rumah agam keluarga Astor di Fifth Avenue, New York, menurut rumah lelong tersebut.
Pelelong Andrew Aldridge menyatakan, “Jam itu diberikan sebagai tanda terima kasih atas keberanian Rostron dalam menyelamatkan nyawa mereka, kerana tanpa usaha beliau, 700 orang tersebut tidak akan selamat.” Aldridge juga berkata, jualan ini menunjukkan “tarikan berterusan” terhadap kisah Titanic.
Menurutnya, “Bagi sejarawan, perincian seperti panjang kapal yang 882 kaki dan beratnya 46,000 tan adalah penting. Tetapi bagi pengumpul,
ia lebih kepada kisah individu di atas kapal tersebut. Setiap lelaki, wanita, dan kanak-kanak mempunyai cerita tersendiri, dan cerita-cerita itu masih diceritakan lebih seratus tahun kemudian melalui barangan memorabilia.”
Biola yang dimainkan semasa Titanic tenggelam memegang rekod tertinggi bagi artifak Titanic selama 11 tahun, selepas dijual pada harga GBP1.1 juta pada 2013.
Aldridge menambah bahawa rekod tersebut dipecahkan dua kali dalam tahun ini menunjukkan “penurunan bekalan dan peningkatan permintaan” terhadap barangan memorabilia Titanic. Harga artifak tersebut kini meningkat dengan mendadak, katanya.
BACA: Khairul Aming dedah sebab kenapa tolak review makanan, ‘Saya pentingkan..’