Realtime website trackingweb stats

Rupanya senang je nak tutup dinding berlubang, ini caranya ‘confirm’ pro macam tukang!

Oleh FATIN AQILAH

Rumah subsale atau yang disewakan selalunya mempunyai banyak kesan tebuk pada dinding, yang boleh mencacatkan pandangan.

Memahami bahawa setiap penghuni mempunyai cita rasa berbeza, mereka pastinya ingin menggantung pelbagai jenis hiasan dan dekorasi pada dinding rumah.

Ini menyebabkan banyak tebukan dilakukan pada dinding, sehinggakan ada yang kelihatan seperti kesan tembakan rawak.

Bagi anda yang baru membeli rumah subsale atau mengambil alih rumah sewa dan berhadapan dengan situasi ini,

Berikut adalah cara mudah untuk menghilangkan kesan ‘tembakan’ pada dinding rumah.

Rupanya senang je nak tutup dinding berlubang, ini caranya 'confirm' pro macam tukang!

Yang paling penting, anda boleh melakukannya sendiri tanpa perlu mengeluarkan kos yang besar untuk mendapatkan perkhidmatan tukang rumah.

1. Simen filler

Simen filler adalah pilihan terbaik untuk membantu dalam proses renovasi dan baik pulih rumah.

Untuk menghilangkan kesan lubang pada dinding, bancuh simen filler terlebih dahulu dan masukkan ke dalam lubang tersebut.

Setelah kering, kemaskan permukaan sehingga licin dan plaster semula menggunakan simen filler yang sama.

2. Simen plaster siling

Simen plaster siling adalah bahan yang mudah didapati dan senang digunakan. Bancuh seperti biasa dan masukkan ke dalam lubang pada dinding yang ingin ditutup.

Simen plaster siling juga cepat kering berbanding bahan-bahan lain, menjadikannya lebih praktikal.

3. Bancuhan simen dan pasir

Campuran simen, pasir, dan air adalah kaedah yang sering digunakan oleh tukang rumah kerana ia lebih kukuh dan berkesan.

Namun, kaedah ini mungkin kurang popular bagi mereka yang inginkan cara yang lebih cepat dan mudah.

Campuran ini memberikan ketahanan yang lebih baik terhadap lubang-lubang yang banyak pada dinding, yang sedikit sebanyak dapat mempengaruhi struktur bangunan.

Tip tambahan:

Untuk memudahkan bahan bancuhan dimasukkan ke dalam lubang kecil, anda boleh menggunakan plastik air.

Masukkan bahan ke dalam plastik tersebut, gunting sedikit di bahagian bucu, dan picit bahan tadi ke dalam lubang sehingga penuh. Jika ada lebihan, biarkan ia mengering terlebih dahulu sebelum mengikis dan meratakannya.

Dengan kaedah ini, anda boleh mengembalikan keindahan dinding rumah dengan mudah dan kos yang rendah.

BACA: Buat-buat tanya jalan, lelaki kongsi detik cemas orang tuanya nyaris diculik, orang dewasa pun tak selamat