Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) didesak segera mengadakan sidang khas bagi mengecam Israel dan mengisytiharkannya sebagai negara pengganas, ekoran serangan bom di Lubnan pada 17 September lalu.
Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa Malaysia (IAIS) dalam satu kenyataan, mengecam tindakan terancang dan kejam Israel itu yang telah mengakibatkan 37 kematian, termasuk dua kanak-kanak, dan hampir 3,000 cedera, termasuk duta Iran ke Lubnan, Mojtaba Amani.
“IAIS menyeru PBB untuk mengadakan sidang khas mengecam Israel dan mengisytiharkannya sebagai negara pengganas, bagi memastikan piawaian yang sama dikenakan kepada semua pihak yang terlibat dalam keganasan.
“Keperluan untuk tindakan segera semakin mendesak, dan tanpa respons tegas dari PBB, ketegangan di kawasan ini mungkin semakin meningkat,” kata mereka dalam satu kenyataan.
Serangan 17 September lalu melibatkan letupan serentak secara peranti komunikasi atau dikenali sebagai ‘pager’ mudah alih termasuk menggunakan radio walkie-talkie, menciptakan suasana ketakutan dan kekeliruan di kalangan penduduk sehingga ramai yang tidak mengetahui punca letupan pada awalnya.
Menurut IAIS, hospital-hospital di Lebanon kini terjejas dengan kesesakan pesakit dan kekurangan kakitangan perubatan, kerana ramai doktor enggan menggunakan peralatan keluli yang mungkin meletup.
Malah ujar mereka, khabar angin mengenai serangan siber juga mencetuskan kebimbangan di kalangan orang ramai.
“Dikenal pasti bahawa Israel telah mengubah suai peralatan komunikasi yang dipesan oleh Hezbollah dengan bahan letupan, menjadikannya alat serangan dari jauh.
“Serangan ini berlaku di kawasan sesak, melanggar undang-undang antarabangsa dan prinsip pembezaan antara sasaran tentera dan orang awam,” kata kenyataan itu lagi.
Sejak 23 September 2024, Israel terus melancarkan serangan udara di selatan dan timur Lebanon, dengan lebih 600 kematian dilaporkan dan ribuan penduduk terpaksa melarikan diri. Tindakan ini dilihat sebagai provokasi untuk mencetuskan konflik yang lebih meluas.
IAIS Malaysia bagaimanapun memuji Hezbollah kerana menunjukkan budi bicara walaupun berdepan dengan provokasi.
Iran juga berjanji untuk memberi tindak balas, tetapi sebarang reaksi tidak boleh dianggap sebagai persetujuan terhadap tindakan Israel.
Menurut pusat kajian itu, laporan menunjukkan bahawa serangan ini dirancang dengan teliti oleh Israel, termasuk penyusupan perisikan ke dalam organisasi penentang seperti Hezbollah.
“Mossad didakwa telah menubuhkan syarikat untuk menghasilkan peranti berbahaya,” dedah mereka.