Realtime website trackingweb stats

Ini hukum semua patut tahu sebelum buat, perlu wuduk ke baca al-quran di telefon?

Oleh ABDULLAH HAMID

Sesetengah orang lebih memilih untuk membaca al-Quran di telefon bimbit kerana ia lebih mudah dan cepat.

Walau bagaimanapun, perbuatan ini kadang-kadang menimbulkan persoalan apabila seseorang tidak mengambil wuduk terlebih dahulu.

Perkara ini perlu diambil serius kerana terdapat kebimbangan bahawa membaca al-Quran di telefon tanpa wuduk boleh menyebabkan berdosa atau sebaliknya.

Umum mengetahui, membaca al-Quran adalah satu amalan yang sangat dituntut dalam Islam, kerana pelbagai ganjaran dapat diperoleh.

Hal ini juga disebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Umamah RA, bahawa beliau mendengar Nabi SAW bersabda:

Ini hukum semua patut tahu sebelum buat, perlu wuduk ke baca al-quran di telefon?

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لأَصْحَابِهِ

Maksudnya: “Bacalah al-Quran, kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat bagi sesiapa yang membacanya.” (Riwayat Muslim, 804)

Berbalik kepada persoalan di atas, hukum membaca al-Quran tanpa wuduk menggunakan telefon bimbit adalah harus. Aplikasi al-Quran dalam telefon tidak boleh dianggap sebagai mushaf al-Quran kerana ia hanya merupakan tulisan yang dipaparkan melalui skrin dan tidak kekal, berbeza dengan mushaf al-Quran yang hakiki seperti yang ditakrifkan oleh para ulama.

Maksud mushaf adalah setiap benda yang ditulis padanya sesuatu daripada al-Quran dengan tujuan pembelajaran, seperti kayu, tiang, atau dinding. Sifat mushaf adalah sesuatu yang ditulis di atasnya ayat al-Quran.

Oleh itu, dapat difahami bahawa al-Quran yang dibuka di dalam telefon pintar tidak termasuk dalam kategori mushaf seperti yang ditakrifkan oleh ulama.

Walau bagaimanapun, adalah sunat untuk berwuduk ketika ingin membaca al-Quran kerana ini merupakan salah satu adab yang digariskan oleh para ulama.

Selain itu, jika membaca al-Quran melalui telefon lebih mendatangkan kekhusyukan dan tadabbur, maka ia tidak akan mengurangkan pahala seseorang itu berbanding membaca dari mushaf. Yang paling utama adalah menghadirkan hati dan merasakan manfaat daripada al-Quran.

BACA: Rezeki terpijak di ‘pasar’, disangka tiruan lelaki terkejut beli tali jam emas tulen!