Realtime website trackingweb stats

Presiden Masoud Pezeshkian, Harapan Baru Dunia Islam

Oleh FATIN AQILAH

Dr. Masoud Pezeshkian telah secara rasmi dilantik sebagai Presiden Republik Islam Iran yang kesembilan, menandakan satu era baru dalam politik Iran.

Bagi Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa Malaysia (IAIS), kemenangan Masoud Pezeshkian dalam pilihan raya presiden ini adalah satu peluang untuk merombak isu-isu domestik dan memperbaiki hubungan antarabangsa negara tersebut.

“IAIS Malaysia menyambut baik kemenangan Pezeshkian sebagai langkah positif untuk memperkuat hubungan diplomatik antara Malaysia dan Iran.

“Dengan semangat dialog dan kesederhanaan yang ditekankan dalam konsep Malaysia MADANI, diharapkan bahawa Pezeshkian akan membawa Iran ke era baru yang lebih reformis dan inklusif dalam hubungan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam ucapannya, Pezeshkian menyatakan komitmennya untuk menjadi “suara bagi yang tidak bersuara.”

Presiden Masoud Pezeshkian, Harapan Baru Dunia Islam

Beliau menekankan pentingnya perpaduan nasional bagi memulihkan ekonomi yang terjejas, serta menangani isolasi antarabangsa yang telah menjadi cabaran utama bagi Iran.

Dalam konteks ini, beliau berjanji untuk menangani konflik yang semakin meruncing dengan Israel melalui pendekatan yang inklusif.

Pezeshkian turut menggariskan langkah-langkah konkrit untuk memperbaiki keadaan ekonomi negara.

Antara janji beliau adalah mengawal inflasi, meningkatkan kuasa beli rakyat, dan memperbaiki nilai mata wang.

Beliau juga berhasrat untuk melonggarkan sekatan sosial dan menyelaraskan dasar ekonomi dengan hubungan luar bagi memenuhi keperluan rakyat.

Dari sudut dasar luar, Presiden Pezeshkian bercadang untuk menghidupkan semula rundingan dengan kuasa Barat bagi mengurangkan sekatan terhadap Iran, sambil mengekalkan hubungan baik dengan negara jiran.

Pendekatan “Look East” yang diambilnya bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan Iran dalam arena global dan serantau.

“Kepimpinan Pezeshkian diharapkan dapat membawa perubahan signifikan dalam peralihan politik di Iran, dengan harapan dapat memperkukuh keyakinan rakyat terhadap pentadbiran baru.

“Kepimpinannya juga dijangka dapat memperkukuh kerjasama dalam Organisasi Kerjasama Islam (OIC), terutama dalam usaha mendekatkan hubungan antara Iran dan Arab Saudi,” tambah kenyataan itu lagi.