Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberitahu harga sekilogram ayam pada peringkat runcit di kawasan luar bandar dijangka sekitar RM10.40 satu kilogram.
Walaupun langkah penamatan subsidi dan kawalan harga ayam berkuat kuasa 1 November ini harga tersebut masih kekal, namun harga ayam di peringkat pasar raya besar dijangka tidak akan melebihi RM9.40 satu kg.
KPKM dalam satu kenyataan berkata, walaupun sebelum ini kerajaan menetapkan harga ayam tidak boleh dijual melebihi RM9.40 sekilogram, peniaga di peringkat runcit telah mengenakan caj pemotongan antara RM1 ke RM2 satu kg, menjadikan harga belian ayam menjadi RM10.40 sekilogram.
Bagi membantu pengguna di kawasan luar bandar, KPKM menyebut kerajaan akan menganjurkan Jualan Agro Madani dan Jualan Rahmah di seluruh negara dengan harga jualan ayam akan kekal kompetitif dan tidak membebankan rakyat.
Mengenai persoalan langkah kerajaan jika harga ayam naik mendadak selepas harganya diapungkan, KPKM menyatakan kementerian itu dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan sentiasa memantau harga ayam dari peringkat ladang sehingga ke outlet peruncitan dari semasa ke semasa.
Menurut KPKM, sekiranya berlaku kenaikan mendadak akibat kekurangan bekalan, kementerian itu telah bersedia untuk mengimport ayam dari sumber negara luar bagi mencukupkan bekalan dalam negara.