Ada yang gemar menikmati kuah campur setimbun atau nasi kandar kuah banjir ketika makan di kedai? Hati-hati!
Walaupun hanya nasi kuah banjir, ia boleh menyebabkan peningkatan berat badan dengan cepat jika diamalkan secara kerap.
Penduduk Malaysia terkenal dengan kecintaan mereka terhadap makanan.
Hampir setiap minggu atau bulan, terdapat sahaja makanan atau minuman baharu yang diviralkan di media sosial.
Malah, seolah-olah menjadi satu kemestian untuk mencubanya agar tidak ketinggalan dalam arus semasa.
Namun, tahukah anda bahawa Malaysia merupakan salah satu negara dengan kadar obesiti tertinggi di Asia Tenggara?
Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019, hampir setengah daripada penduduk Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas mengalami masalah berlebihan berat badan atau obesiti.
Ini menunjukkan bahawa isu pemakanan berlebihan dan obesiti adalah perkara serius yang perlu ditangani dengan segera.
Nasi Kandar Kuah Banjir: Budaya Makanan Malaysia
Istilah ‘kuah banjir’ adalah satu trend makanan yang sangat popular dalam kalangan rakyat Malaysia, terutamanya di kedai makan mamak.
Ia merupakan hidangan nasi yang biasanya dicurahkan dengan pelbagai jenis kuah sehingga melimpah ruah dalam pinggan. Trend ini lebih mudah dijumpai di kedai mamak, tetapi juga biasa ditemui di kedai makan biasa.
Ramai yang tidak sedar bahawa setiap kuah itu mengandungi banyak kalori. Ini belum termasuk kalori daripada lauk-pauk yang dihidangkan bersamanya seperti ikan, daging, ayam, dan lain-lain
. Antara punca mengapa kuah ini tinggi kalori adalah kerana ia mengandungi banyak minyak, lemak, gula, garam, dan bahan perasa lain.
Bagaimana Kuah Banjir Boleh Menyebabkan Kenaikan Berat Badan?
Dalam trend nasi kandar kuah banjir, satu pinggan nasi mungkin mengandungi antara 3 hingga 5 jenis kuah yang berbeza.
Setiap jenis kuah ini mempunyai nilai kalori, gula, garam, dan lemak tersendiri. Apabila semua jenis kuah ini dicampurkan, jumlah kalori dalam satu pinggan nasi akan meningkat.
Ini tidak termasuk kalori daripada lauk-pauk lain yang dihidangkan. Sekiranya kita makan seperti ini setiap hari, tidak hairanlah jika berat badan kita akan meningkat dengan cepat dalam masa yang singkat.
Berikut adalah perbandingan nilai kalori bagi hidangan biasa dengan hidangan kuah banjir untuk rujukan anda:
-Nasi kandar (572 kcal) vs Nasi kandar kuah banjir (1112 kcal)
-Roti canai kuah kari (632 kcal) vs Roti canai kuah kari banjir (1182 kcal)
-Nasi kukus ayam berempah (565 kcal) vs Nasi kukus ayam berempah kuah banjir (1115 kcal)
Faktor-faktor Lain Penyebab Obesiti
Selain budaya makan kuah banjir, terdapat juga faktor lain yang boleh menyumbang kepada obesiti, seperti kurang bersenam, tidur yang tidak mencukupi, melewatkan sarapan pagi, dan minum minuman manis setiap hari. Semua ini boleh menyumbang kepada peningkatan berat badan dan akhirnya membawa kepada obesiti.
Jika anda kerap makan nasi kuah banjir tanpa bersenam, kalori dalam badan tidak akan berkurang, dan lemak akan semakin bertambah. Apatah lagi jika anda mengiringi hidangan tersebut dengan secawan teh tarik, ia adalah satu mimpi ngeri untuk berat badan anda.
Tip Makan Secara Sihat Jika Masih Ingin Nasi Kandar Kuah Banjir
Jika anda masih ingin menikmati kuah banjir dalam hidangan nasi anda, terdapat beberapa cara untuk menjadikannya lebih sihat:
-Kurangkan jenis kuah yang diambil, cukup satu atau dua jenis sahaja.
-Minta kurangkan kuantiti kuah yang diletakkan pada nasi.
-Pilih kuah yang lebih sihat seperti kuah bening atau kuah dari lauk sayur-sayuran.
-Kurangkan nasi dan kuah, tetapi lebihkan sumber protein dan sayuran.
-Minta asingkan kuah dalam mangkuk kecil lain.
Dengan cara ini, anda masih boleh menikmati nasi kandar kuah banjir, tetapi dengan cara yang lebih terkawal dan sihat.
BACA: Ini cara paling cepat sental bekas plastik berminyak ‘confirm’ bersih!